Selasa, 31 March 2015 | 11:05pm

RTM juara boling sukan persahabatan Sabah-Media

KOTA KINABALU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) muncul juara acara boling Sukan Persahabatan Majlis Sukan Negeri Sabah dengan media Sabah yang berlangsung di CPS Bowl, Centre Point, hari ini.

Kejayaan RTM itu yang melakukan 1,886 jatuhan pin membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta piala iringan.

Persatuan Wartawan Sabah yang membuat 1,813 jatuhan pin menamatkan cabaran selaku naib juara, manakala Jabatan Penerangan di tempat ketiga dengan 1,503 jatuhan pin, dengan masing-masing meraih wang tunai RM1,500 dan RM1,000 beserta piala iringan.

Antara organisasi media menyertai pertandingan itu ialah Persatuan Wartawan Sabah, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Daily Ekspress, Utusan Borneo, Utusan Malaysia, Kosmo, See Hua Daily manakala media elektronik termasuk Radio Suria fm, Radio Era fm, Radio KKFM, Sayang Sabah, TV Al Hijrah dan TV3.

Karnival sukan itu yang dianjurkan melalui Program Rakan Media, adalah acara tahunan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi memberi peluang komunikasi secara terus antara media dan pengamal sukan.

Program itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. - BERNAMA

Berita Harian X