Selasa, 31 March 2015 | 1:30pm
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin mahu sidang DUN Perak jadi kebanggaan rakyat, contoh rujukan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan hasrat baginda agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dapat dijadikan kebanggaan rakyat negeri ini dan menjadi contoh rujukan dari segi prosiding, kualiti perbahasan serta tata kesopanan anggotanya.

Baginda bertitah, berdasarkan profil ahli, DUN Perak dianggotai barisan profesional dan pemimpin politik yang kaya dengan pelbagai pengalaman.

"Kelulusan profesional dan khazanah pengalaman itu hendaklah dijelmakan dalam bentuk perbahasan yang mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan, mengupas perkara-perkara utama dan menganalisis dasar-dasar penting secara rasional dan sebaik mungkin mengelakkan perkara-perkara sensasi yang berunsur peribadi," titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga DUN Perak ke-13 di sini.

Persidangan kali ini turut mencatatkan sejarah kerana ia keberangkatan pertama Sultan Nazrin ke Dewan Undangan Negeri sebagai Sultan Perak ke-35 sejak dimasyhurkan pada 29 Mei 2014.

Titah baginda DUN adalah entiti tersendiri dan ia cabang bebas dalam sistem demokrasi yang berpegang kepada doktrin pemisahan kuasa.

Baginda bertitah, peranan utama DUN adalah untuk menyemak, menegur, menasihat dan mengaudit cabang eksekutif.

"Ia adalah tanggungjawab setiap ahli Dewan, baik di kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Penuhilah peranan tersebut secara objektif - secara konstruktif bertujuan untuk menambah baik sistem penyampaian dan sistem perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada negeri Perak.

- BERNAMA

Berita Harian X