Selasa, 31 March 2015 | 1:24pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Foto BERNAMA

Kerajaan komited iktiraf kecemerlangan pelajar - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan pelajar seiring dengan matlamat mencapai negara berpendapatan tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangunan modal insan yang berterusan dan terancang akan memastikan bilangan tenaga sumber manusia yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi terus meningkat dalam menghasilkan apa yang dikatakan sebagai 'pool of talent for the future'.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menjelaskan Laporan Daya Saing Global 2014-2015 dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebelum ini telah meletakkan Malaysia ditangga ke-20, melonjak dari kedudukan ke-24 pada tahun sebelumnya.

"Lebih membanggakan lagi ialah kedudukan negara mengatasi negara ekonomi maju seperti Australia, Austria, Perancis dan Korea Selatan.

"Dua belas tonggak utama telah digariskan oleh WEF bagi mencapai tahap daya saing global ini dan tiga tonggak yang diberi perhatian oleh negara adalah persekitaran ekonomi makro, kecekapan pasaran buruh dan kestabilan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Biasiswa Nasional 2015 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Bagi meningkatkan kecekapan pasaran buruh domestik, Muhyidin berkata, kerajaan menerusi pelbagai agensi telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan objektif untuk menghasilkan tenaga mahir dan sumber modal insan yang bersesuaian dengan keperluan semasa negara.

"Salah satu inisiatif adalah penajaan oleh JPA kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dengan mengambil kira keperluan semasa negara untuk memperkasa bidang pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan teknikal dan latihan vokasional, keselamatan serta data sains," katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, beliau berkata, sehingga kini seramai 151 pelajar sedang ditaja dibawah Program Biasiswa Nasional.

"Saya amat berbangga kerana pelajar-pelajar yang ditaja ini sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka dunia.

"Saya yakin dengan ilmu dan kepakaran yang diperoleh dari universiti terkemuka ini akan melahirkan graduan yang terbaik dan berketrampilan. Modal insan seperti ini yang diperlukan untuk menyumbang kepada usaha kerajaan demi memastikan Malaysia mencapai visi sebagai sebuah negara yang berdaya saing di peringkat global," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan berharap pelaburan jangka panjang melalui program penajaan seumpama ini dapat menghasilkan modal insan berkualiti bagi meneruskan pembangunan negara ke arah Wawasan 2020.

Berita Harian X