Khamis, 4 September 2014 | 12:41pm
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi mencari pelancong warga Perancis, Jerome Philippe Laurent yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat melakukan aktiviti snorkeling berhampiran Berjaya Resort Tioman. - Foto Bomba

Operasi mencari pelancong hilang diteruskan

KUANTAN: Polis masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang pelancong warga negara Perancis, Jerome Philippe Laurent yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya, berkata operasi mencari lelaki yang berusia 24 tahun itu disambung seawal jam 8 pagi tadi.

"Polis juga akan membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan helikopter dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia hari ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kekuatan pasukan penyelamat juga ditambah kepada 67 anggota dari pelbagai agensi dengan tujuh buah bot.

Katanya, pasukan penyelamat itu terdiri daripada anggota polis, polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan kakitangan Berjaya Resort Tioman.

Johari berkata, pasukan penyelamat akan memperluaskan lagi kawasan pencarian dari lokasi pelancong terbabit dilaporkan hilang.

Lelaki itu dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti snorkeling di hadapan Berjaya Resort Tioman, Pulau Tioman kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Kehilangannya disedari selepas dia didapati tidak pulang ke chalet penginapannya sehingga jam 5.30 petang hari yang sama sebelum laporan polis dibuat rakannya.

- BERNAMA

Berita Harian X