Selasa, 31 March 2015 | 12:10am

Janda Baik sedang diawasi

BENTONG: Jabatan Perhutanan Pahang akan mengambil tindakan terhadap penceroboh yang meneroka secara haram di hutan simpan di Ulu Chemperoh, Janda Baik, dekat sini.

Mengesahkan pencerobohan itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Mohd Paiz Kamaruzzaman, berkata ia dilakukan oleh sekumpulan Orang Asli yang meneroka seluas dua hektar tanah di kawasan berkenaan.

"Perkara ini dalam tindakan penyelarasan untuk kami lakukan penguatkuasaan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi BH bagi mengulas pencerobohan di Ulu Chemperoh, dekat sini, seperti dikesan dalam tinjauan BH.


GAMBAR menunjukkan kawasan hutan ditarah oleh syarikat yang didakwa penduduk melebihi daripada kawasan yang ditetapkan, bagaimanapun Jabatan Perhutanan mengesahkan bahawa pelesen terbabit tidak keluar daripada kawasan. - Foto Nazirul Roselan

Untuk rekod, Jabatan Perhutanan Pahang memeriksa sejumlah 40 hektar tanah yang diceroboh di Janda Baik dalam empat operasinya tahun lalu dan proses penanaman semula sedang dijalankan.

Katanya, pemantauan berterusan Jabatan Perhutanan Pahang mendapati tiada kawasan yang diceroboh kembali diteroka dan meminta kerjasama penduduk untuk memberi maklumat mengenainya.

Mohd Paiz menafikan dakwaan penduduk bahawa kontraktor pemasangan grid elektrik dari Lentang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meneroka di luar kawasan ditetapkan untuk mengambil balak.


PENGARAH Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Mohd Paiz Kamaruzzaman. - Foto Sairien Nafis

"Pemantauan bulanan dijalankan Renjer Bentong Barat dan perkembangannya sentiasa dilaporkan kepada kami.

"Pihak pelesen diberi amaran dan mereka sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan syarat lesen dipatuhi selain mengutamakan penjagaan sungai berhampiran," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak kontraktor yang memasang grid elektrik itu belum dibenarkan meneroka kawasan hutan berhampiran Air Terjun Tampit sebagai laluannya.

"Ia (projek pemasangan grid elektrik) berkemungkinan merentasi bahagian hulu Sungai Tampit, bagaimanapun kami belum menerima sebarang permohonan," katanya.


TINJAUAN mendapati masih terdapat kawasan yang diketegori dalam hutan simpan di Ulu Camperoh diceroboh secara haram. - Foto Nazirul Roselan

Sementara itu, Pengasas Jawatankuasa Bertindak Janda Baik (JBAC), Mohd Fauzi Abd Latif, berkata isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah antara 11 permasalahan dihadapi di Kampung Janda Baik.

Katanya, kebanyakan pengusaha tanah bergeran di kampung itu dikesan mengupah golongan berkenaan yang lama kelamaan turut meneroka kawasan lain bagi mencari sumber pendapatan.

"Kami berharap kerajaan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk penduduk dapat memelihara hutan yang menjadi sumber air, oksigen, mengembalikan semula cuaca sejuk, habitat bagi hidupan liar dan membanteras kegiatan pembalakan serta penerokaan tanah secara haram.

"Kami juga mahu usaha memelihara sungai yang menjadi aset utama kepada Janda Baik diperhebatkan kerana ia satu tarikan pelancongan," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Fauzi yang juga anak jati Kampung Janda Baik turut membangkitkan isu tanah milik agensi kerajaan yang menimbulkan persoalan kerana pembangunannya tidak selaras dengan objektif pemberian seperti berlaku di Sum Sum Hulu yang asalnya untuk padang ragut lembu.


LALUAN ke Sungai Benus yang didakwa penduduk diteroka di luar kawasan yang diluluskan. - Foto Nazirul Roselan

Turut dibangkitkan, kecurigaan penduduk terhadap terhadap kolam ternakan ikan di kampung ini yang dikhuatiri melepaskan sisa kotoran ke sungai menyebabkan spesies ikan asal pupus.

"Dari segi pembangunan perumahan terutama dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang didakwa dibina di tapak tanah sebelum ini dan dikhaskan untuk belia, kami harap harganya tidak terlalu tinggi, sekali gus mampu dimiliki penduduk tempatan," katanya.

Mohd Fauzi berkata, paling penting adalah masa depan penduduk Kampung Janda Baik sendiri kerana masih ada dalam kalangan mereka tidak memiliki rumah dan tanah, memerlukan pembelaan pihak berkuasa.

"Bagaimana dengan nasib kampung Melayu? Apa perancangan rapi oleh pihak berkuasa untuk memastikan Janda Baik ini mampu menjadi pusat peranginan terkemuka dunia? Kami mahu tahu semua ini," katanya.


AIR Terjun Tampit di Janda Baik dibimbangi bakal menerima nasib sama seperti sungai lain sekiranya penceroboh tanah dan pembalakan secara haram terus berlaku. - Foto Nazirul Roselan

Berita Harian X