Sabtu, 28 March 2015 | 2:52pm
RINGGIT dijangka tidak menentu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan unjuran positif terhadap asas-asas ekonomi Malaysia berbanding sentimen menggalakkan yang condong ke arah ekonomi AS. - Foto hiasan

Ringgit dijangka tak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka tidak menentu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan unjuran positif terhadap asas-asas ekonomi Malaysia berbanding sentimen menggalakkan yang condong ke arah ekonomi AS.

Beberapa peniaga tempatan berkata mereka menjangka mata wang tempatan didagangkan antara 3.65 dan 3.70 minggu depan bersandarkan sentimen risiko lebih baik tempatan berbanding ketidakpastian pemasaan pernomalan dasar monetari AS.

Ringgit juga menerima rangsangan positif daripada Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bulan ini, apabila beliau berkata ringgit dinilai di bawah nilai sebenar dan tidak mencerminkan asas-asas semasa Malaysia yang masih teguh.

Ketika beliau berkata demikian pada 11 Mac, ringgit didagangkan sekitar 3.70 berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

"Secara teknikalnya, ringgit berkemungkinan lebih kukuh minggu depan berbanding dolar AS dan menguji paras sokongan 3.65 manakala paras 3.60 kekal sebagai sokongan penting jika dolar gagal mengukuh minggu depan," kata seorang lagi peniaga kepada Bernama.

Secara mingguan, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding dolar AS pada 3.6830/6870 daripada 3.7255/0285, Jumaat lepas.

Bagaimanapun ia mengakhiri minggu ini lebih rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound British.

Ia lemah berbanding dolar Singapura pada 2.6844/6883 daripada 2.6825/6849 Jumaat lepas dan susut berbanding yen pada 3.0830/0874 daripada 3.0802/0837 minggu lepas. Nota tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4586/4663 daripada 5.4932/4988 minggu lepas, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 3.9854/9901 daripada 3.9811/9858 Jumaat lepas. - BERNAMA

Berita Harian X