Khamis, 26 March 2015 | 6:11pm
MUSTAPA bercakap pada Majlis Penghargaan Program SME Mentoring anjuran bersama HDC, SME Corp Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hanya 20 peratus permintaan produk halal dipenuhi

KUALA LUMPUR: Pusat Sokongan Halal Global (GHSC) yang ditubuhkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) pada 2012, hari ini muncul pusat rujukan utama dunia bagi mendapatkan data dan maklumat berkaitan halal secara fizikal dan dalam talian.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pusat itu berfungsi sebagai pusat sehenti kepada pengeluar dan orang awam untuk mendapatkan maklumat berhubung piawai, pensijilan dan pembangunan keupayaan bagi semua produk dan perkhidmatan halal.

Beliau berkata, selain menyediakan portal maklumat, perkhidmatan secara peribadi juga disediakan HDC di Bandar Utama, Petaling Jaya dalam bentuk pembekalan maklumat, bimbingan dan nasihat.

"Kini GHSC menjadi pusat rujukan halal kepada hampir 120 negara dengan 32 juta pengguna merangkumi pengguna fizikal dan dalam talian.

"Pusat itu juga menerima lawatan 9,900 delegasi dari 69 negara," katanya pada Majlis Penghargaan Program SME Mentoring anjuran bersama HDC, SME Corp Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd.

Hadir sama Pengerusi HDC, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim; Pengerusi SME Corp, Tan Sri Ir Mohamed Al Amin Abdul Majid; dan Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Zainol Anwar Syed putera Jamalullail.

Mustapa berkata, antara produk mendapat sambutan baik di GHSC itu ialah Halal Dataware System yang berfungsi untuk menghasilkan data utama, termasuk data perdagangan industri halal di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bilangan pembekal keluaran halal masih terlalu kecil dan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna global.

Permintaan produk halal global yang terdiri daripada makanan dan minuman, ramuan, kosmetik dan barangan penjagaan diri serta farmaseutikal dianggarkan bernilai AS$790 bilion (RM2.894 trilion), katanya.

Bagaimanapun, permintaan itu katanya hanya dapat dipenuhi setakat 20 peratus atau bersamaan nilai AS$136 bilion (RM498.13 bilion) oleh pembekal keluaran halal sedunia.

"Ini bermakna, jurang perbezaan permintaan berbanding bekalan ialah sebanyak 80 peratus bernilai kira-kira AS$654 bilion (RM2.395 trilion).

"Pastinya keadaan ini membuka peluang kepada IKS tempatan untuk mempertingkatkan usaha bagi mengetengahkan produk halal mereka di pasaran antarabangsa," katanya.

Program SME Mentoring yang dilancarkan pada 2009 bertujuan membangun dan meningkatkan keupayaan IKS tempatan dalam industri makanan dan minuman halal.

Menerusi program itu, pengusaha IKS dibimbing di bawah program antaranya, pembangunan dari aspek pasaran, pensijilan halal, dan penambahbaikan produk.

Sebanyak 243 peserta menyertai program itu setakat hari ini, yang mana lima daripadanya termasuk dua syarikat Bumiputera, diambil menjadi pembekal kepada Nestle Malaysia.

Berita Harian X