Ahad, 22 March 2015 | 12:02am
SM Zakir. - Foto Nik Hariff Hassan

Profesional pilih calon Sasterawan Negara


SYED Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir. - Foto Amirul Nubli Wan Ahmad

KUALA LUMPUR: Satu-satunya cara menarik lebih ramai pihak, khususnya ahli akademik dan pengarang untuk terbabit dalam pencalonan Anugerah Sastera Negara (ASN) ialah kedudukan mereka yang mencalonkan nama diangkat menjadi tugas profesional.

Pandangan itu dikemukakan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, sekali gus menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menambah baik format sedia ada.

"Tiada cara lain yang lebih molek untuk menarik minat lebih ramai ahli akademik dan orang perseorangan supaya terbabit sama dalam anugerah yang menobatkan Sasterawan Negara (SN), kecuali institusi itu berbuat demikian," katanya kepada Sastera BH.

SM Zakir berkata, masanya sudah tiba untuk pencalonan SN diangkat menjadi kerja profesional dengan memberi pengiktirafan bukan saja kepada penerimanya, bahkan mereka yang mencalonkan SN.


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sastera Negara kepada Datuk Dr Baharuddin Zainal sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 di Kuala Lumpur pada 28 Mei 2013. - Foto Azmaidi Abidin

Geran penyelidikan, kewangan

"Pengiktirafan itu boleh dibuat dalam bentuk geran penyelidikan atau kewangan, sekali gus tidak lagi hanya 'menagih' pencalonan percuma.

"Kita perlu tahu pencalonan itu kerja yang berat kerana ia bukan saja mengambil masa, bahkan memerlukan komitmen yang bukan sedikit," katanya.

Beliau turut membandingkan pencalonan untuk hadiah sastera pada peringkat antarabangsa khususnya Hadiah Nobel Kesusasteraan yang memberikan insentif kepada mereka yang berbuat demikian.

"Sudah tiba masanya pencalonan SN dinaik taraf bukan lagi bersifat kecil-kecilan, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai kerja penyelidikan yang bersifat akademik dan ia sukar untuk menarik minat orang ramai sekiranya tiada sebarang insentif diberikan," katanya.

Pemberian insentif itu bakal membuka ruang kepada persatuan dan ahli akademik, sekali gus memperbanyakkan senarai calon kerana berdasarkan mekanisme pemilihan SN sedia ada, tidak ada pengarang yang boleh diangkat sebagai SN tanpa pencalonan walaupun menghasilkan karya yang baik.

Dalam keadaan sastera Malaysia yang kekurangan pengkritik berwibawa, tambah SM Zakir, adalah baik untuk DBP memberikan penghargaan untuk kerja penyelidikan.


DATUK Dr Baharuddin Zainal bersalam dengan isteri, Datin Rosiah Raja Abdullah selepas dinobatkan tokoh Anugerah Sastera Negara pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 di Kuala Lumpur pada 28 Mei 2013. - Foto Azmaidi Abidin

Kurang motivasi pengkritik

"Kekurangan pengkritik sastera ada kaitannya dengan tiada penghargaan terhadap kerja kritikan sehingga menyebabkan kurangnya motivasi.

"Ini kerana kritikan sastera itu ialah tugas yang sangat serius tetapi dengan keadaan lesu seperti masa kini, ia tidak menarik perhatian orang untuk turut serta," katanya.

Beliau berkata, kritikan sastera perlu dilihat dari sudut akademik dengan penulis yang karyanya dikritik lebih baik berbanding penulis yang karyanya tidak pernah dikritik.

Namun kata SM Zakir, jumlah pengkritik yang ada sekarang mungkin tidak seimbang dengan kadar penulisan penulis baharu kerana pengarang boleh muncul dari mana-mana cabang disiplin ilmu tetapi pengkritik harus lahir dari bidang sastera.

"Bagaimanapun realitinya hari ini sastera disisihkan secara perlahan-lahan misalnya banyak kelas sastera di sekolah ditutup sementara pada peringkat universiti, bidang sastera dikecilkan seperti yang berlaku di beberapa universiti, sekali gus mengehadkan jumlah kelahiran graduan sastera," katanya.

Tegas Zakir, persoalan itu perlu diambil serius kerana meskipun tindakan kelihatan kecil, kesannya sangat besar untuk generasi akan datang.

Berita Harian X