Khamis, 19 March 2015 | 7:46am

Rebut peluang lanjut pengajian di UA, IPTS

Episod debaran calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunggu keputusan mereka terjawab sudah kira-kira dua minggu lalu. Apa juga keputusan diperoleh perlu diterima dengan hati terbuka oleh 42,854 calon STPM dan 429,000 calon SPM tahun lalu.

Jumlah pelajar mendapat A dalam semua subjek dalam SPM menyaksikan sedikit penurunan kepada 0.53 peratus dengan catatan seramai 11,289 orang berbanding 13,970 (tahun 2013). Sebaliknya, calon STPM yang mendapat lulus penuh empat mata pelajaran bertambah kepada 63.8 peratus (27,342 orang). Peningkatan bilangan yang mendapat keputusan A juga meningkat 0.96 peratus kepada 97.81 peratus berbanding 96.85 peratus pada tahun 2013.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar cemerlang. Calon yang kurang cemerlang juga masih mempunyai peluang jika mereka mahu menyahut cabaran meneruskan pembelajaran sepanjang hayat. Terlalu banyak pilihan di semua peringkat pendidikan tinggi yang ditawarkan Kementerian Pendidikan kepada pelajar seluruh negara ketika ini. Dimensi terbuka ini memberikan ruang pendidikan pasca STPM dan SPM secara holistik sebelum pelajar memasuki fasa alam kerjaya.

KBAT bukan penghalang kejayaan

Ada berpendapat pengenalan format penyoalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) menyebabkan calon SPM kurang cemerlang tahun lalu dan menyebabkan bilangan yang mendapat (Gred A+, A dan A-) menurun berbanding pada tahun 2013. Sebenarnya, penggunaan elemen ini bukanlah boleh dianggap sebagai penghalang utama pelajar cemerlang.

Beberapa calon STPM dan SPM terbukti cemerlang memperoleh keputusan cemerlang semua A. Sebagai contoh, pelajar warga Jepun, Sanya Harada dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kedawang, Langkawi yang berjaya mendapat 9A termasuk subjek Bahasa Melayu. Pelajar itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 2007 dan mampu membuktikan kecemerlangannya.

Kementerian sudah tentu sentiasa berbincang dan menyusun pendekatan terkini bagi melihat semula pengenalan format agar sentiasa realistik dan dominan digunakan di semua sekolah.

Kini semua pelajar mempunyai peluang terbuka melanjutkan pelajaran di ruang pendidikan tinggi di semua universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, pengajian peringkat matrikulasi dan bidang kemahiran di kolej komuniti.

Bagi pelajar cemerlang dan mencapai keputusan cemerlang 9A+, mereka boleh memilih program Bursary Kementerian Pendidikan sebagai pilihan seterusnya. Mereka boleh melayari laman web www.moe.gov.my untuk tujuan yang sama. Bagi yang berminat melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi, juga boleh melayari laman itu untuk mengetahui syarat lanjut yang ditetapkan.

Teknik mudah penuhi syarat

Namun, pelajar yang ingin mendapatkan peluang ditempatkan di universiti awam perlu menyusun perancangan dalam pelan pendidikan tinggi mereka agar tidak terhenti di tengah jalan. Ada teknik dan cara mudah pelajar yang memenuhi syarat ditetapkan kementerian dengan menyemak syarat dan peluang dengan cepat di www.semaksyarat.info.

Pelajar juga perlu bertindak kreatif dan berfikir di luar kotak fikiran mereka. Walaupun bidang perubatan dan undang-undang menjadi tumpuan, banyak lagi bidang yang boleh dimohon seperti bioteknologi dan perniagaan pertanian yang turut berpotensi besar.

Saya ingin menasihati ibu bapa agar tidak memberikan tekanan kepada anak agar memilih jurusan kursus pengajian pilihan mereka. Sebenarnya anak kita mempunyai kecenderungan dan potensi cemerlang dalam semua bidang asalkan mereka tidak terlalu tertekan.

Pada pendapat saya, pendidikan menengah sehingga Tingkatan Enam juga mempunyai prospek positif dan peluang terbuka sebelum pelajar menjejak kaki ke menara gading. Pendidikan Tingkatan Enam yang dirombak dan disusun semula kementerian semakin diminati dan bernafas baharu agar relevan dengan kehendak semasa. Perubahan kurikulum mengikut semester dan sistem pakaian seragam juga diubah mengikut keperluan sesuai jolokan pelajar 'prauniversiti'. Pelajar berkenaan juga mempunyai peluang sama melanjutkan pengajian peringkat tinggi di universiti.

Bagi pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik, mereka bolehlah memilih bidang kemahiran, teknikal dan perdagangan industri. Bidang berkenaan mempunyai permintaan tinggi sejajar dengan kemajuan pesat pembangunan negara.

Justeru, pelajar perlu bijak memilih bidang pengajian yang diminati selepas menduduki STPM dan SPM.

Bagi yang berminat menceburi kerjaya dalam sektor awam pula perlu meneliti sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperakukan dan meluluskan kursus yang mahu diikuti. Malah, peluang mendapatkan tajaan dan pinjaman termasuklah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) terbuka luas.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pendidikan II

Berita Harian X