Sabtu, 14 March 2015 | 12:41am

Patin tempoyak 'kaw'

Isi ikan patin lembut, empuk dan tidak berbau hanyir meskipun kuah pekat tempoyak dituang dalam pinggan berisi nasi kosong.

Rasa pedas dan manis tempoyak menambahkan selera sejurus dimakan bersama nasi panas dan telur dadar goreng berserta air berperisa jagung istimewa pastinya membangkitkan rasa lebih 'kaw' patin tempoyak ini.

Malahan, tidak keterlaluan ada yang menghirup atau menuang terus kuah gulai patin tempoyak ini ke nasi untuk memberi kepuasan maksimum.

Itulah yang saya rasai apabila menikmati menu yang dirasakan istimewa ini ketika makan di Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai di Setapak, Kuala Lumpur.

Resipi warisan

Secara peribadi, saya menganggap menu gulai tempoyak ikan patin di sini tidak mengecewakan.

Itupun, jika anda seorang peminat masakan tempoyak tegar dan selama ini sanggup memandu ke Pahang untuk makan patin tempoyak asli, tetapi sebenarnya tempoyak patin asli sudah terdapat di sini.

Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai yang diusahakan anak jati Temerloh, Muhammad Rizal Muhamad Rosely, 37, menyediakan masakan patin tempoyak asli yang turut digemari hampir semua lapisan masyarakat majmuk di negara ini.

Menggunakan resipi turun-temurun dan kemudian diolah sendiri, kuah dan rasa manis serta pedas isi patin tempoyak mendapat komen positif daripada pelanggan yang pernah mengunjungi restoran induknya di bandar Temerloh.

Idea membuka restoran ini dilakukan atas permintaan pelanggan sedia ada yang mahu sebuah restoran menyediakan patin tempoyak di Kuala Lumpur tetapi mempunyai rasa asal tempoyak Pahang.

Buka cawangan

"Ramai pelanggan yang pernah berkunjung ke restoran di bandar Temerloh meminta saya membuka restoran di sini. Jadi, saya mengambil inisiatif itu di lokasi terpilih seperti di Sri Rampai ini.

"Lagipun lokasi ini sangat strategik, malah berdekatan Lebuh raya Pantai Timur yang memudahkan bahan mentah dihantar dari Temerloh ke sini," katanya.

Restoran Go'bang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai yang baru beroperasi sejak November lalu menyediakan ikan patin sangkar sungai yang memperoleh bekalan mencukupi dari sekitar Temerloh manakala durian untuk tempoyak pula dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menu lain turut disediakan seperti pais tilapia bakar dan pais patin bakar atau goreng. Minuman patut dicuba pelanggan iaitu air jagung, durian, keladi yang di sertakan aiskrim dan TRex Milo yang menjanjikan kelainan dari tempat lain.

Memiliki 12 pekerja, restoran itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat pada minggu kedua dan keempat.

Giat mempromosi

Dalam pada itu, saya melihat hiasan restoran ini seakan segar apabila pemiliknya bijak memanfaatkan segenap ruang dalam dan luar dengan kerusi dan meja kayu yang menyerlahkan ciri kedai makan ala kampung tetapi berkonsepkan moden.

Ayah kepada dua cahaya mata ini turut berhasrat membuka cawangan baharu di lokasi lain seperti Putrajaya, Bangi dan Shah Alam yang disifatkan berpotensi memajukan perniagaannya.

"Berkenaan harga menu sedia ada tidak banyak berbeza dari tempat lain. Saya mengenakan sekitar RM15 untuk sepotong ikan patin yang anggaran saiz mencapai sekilogram lebih.

"Maklum balas yang diterima daripada pelanggan cukup memberangsangkan dan mereka cukup berpuas hati dengan makanan yang disediakan mirip dengan restoran pertama saya di bandar Temerloh," katanya yang giat mempromosikan restorannya di media massa dan laman sosial.

INFO
Restoran Go'abang

* Go'abang Maju Patin Tempoyak Sri Rampai terletak di No 19 Jalan Rampai Maju, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

* Buka jam 11.30 pagi hingga 11 malam kecuali Jumaat minggu kedua dan keempat.

* Menggunakan ikan patin sangkar sungai dan durian dari FAMA.

* Resipi olahan sendiri.

* Minuman terlaris seperti jagung, durian dan keladi di sertakan ais krim.

* Mempunyai kemudahan tempat letak kereta dan WiFi.

* Mampu menempatkan sehingga 150 pelanggan setiap masa.

* Harga RM15 seketul bahagian kepala, ekor dan badan.

Berita Harian X