Ahad, 8 March 2015 | 12:14am

Pesawat tempur UAE gempur tapak pengeluaran minyak IS


Skuadron F-16 UAE. - Gambar hiasan

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata pesawat tenteranya menggempur kemudahan pengeluaran minyak yang dikuasai kumpulan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.

Agensi berita WAM bagaimanapun tidak menyatakan bila serangan itu dibuat, selain menyatakan pesawat tempur UAE meninggalkan pangkalan di Jordan pada malam Jumaat, untuk menyertai misi serangan pasukan bersekutu diterajui Amerika Syarikat.

"Skuadron F-16 UAE meninggalkan pangkalan di Jordan untuk mengadakan serangan udara terbaharu terhadap IS," kata agensi media itu milik kerajaan UAE.

Pesawat berkenaan menyerang beberapa lokasi pengeluaran minyak dikuasai IS di sepanjang saluran minyak mentah negara berkenaan bagi menyekat sumber pembiayaan kumpulan itu," kata WAM sambil menambah semua pesawat berkenaan selamat kembali ke pangkalan.

Ia adalah serangan udara kedua oleh pesawat tempur UAE sejak 16 Februari selepas kumpulan tentera Teluk berlepas dari Jordan dan mengebom pusat penapisan minyak dikuasai IS.

UAE menggantung penyertaannya dalam pasukan tentera bersekutu pada Disember selepas perselisihan dengan Washington berhubung cara dan kaedah untuk menyelamatkan juruterbang tentera bersekutu yang ditawan IS.

Negara itu bagaimanapun kembali menyertai pasukan bersekutu pada Februari selepas IS membunuh juruterbang Jordan yang ditawan selepas pesawatnya terhempas di Syria.

IS menyiarkan video pada awal Februari menunjukkan mereka membakar hidup-hidup juruterbang itu, Maaz al-Kassasbeh.

Tentera bersekutu menyasar serangan terhadap kemudahan pengeluaran minyak dikuasai IS kerana satu laporan pada November menganggarkan IS meraih pendapatan antara AS$850,000 hingga AS$1.6 juta sehari daripada penjualan minyak. - AFP

Berita Harian X