Jumaat, 6 March 2015 | 12:05am

Isu beregu: BAM akur misi Olimpik terjejas


PRESIDEN BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff (dua dari kanan) bersama Ng Chin Chai (kanan) pada majlis menandatangani kontrak barangan sukan Victor (Taiwan) di BAM Bukit Kiara, baru-baru ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui perancangan untuk menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik Rio 2016 membabitkan bahagian beregu lelaki sedikit terjejas, susulan peletakan jawatan Tan Boon Heong, kelmarin.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, badan induk berkenaan menghormati keputusan pemain itu dan melihatnya dari aspek positif.

"Mungkin sedikit terjejas tetapi kita perlu lihat ia daripada aspek positif. Saya percaya pengarah teknikal BAM, Morten Frost Hansen pasti akan tampil dengan perancangan baru.

"Keputusan Boon Heong juga membuka peluang kepada beregu muda untuk membuktikan kemampuan.

"BAM sudah memanggil semula Mak Hee Chun untuk kembali bersama skuad kebangsaan dan mungkin bergandingan dengan Teo Kok Siang manakala Ow Yao Han kemungkinan digandingkan semula dengan Chooi Kah Ming. Mereka ini semua adalah bekas juara remaja dunia," kata Chin Chai ketika dihubungi, semalam.


TAN Boon Heong. - Foto Goh Thean Howe

BH Sukan, semalam melaporkan Boon Heong sah meninggalkan BAM, kelmarin iaitu pemain ketiga selepas Hoon Thien How dan Lim Khim Wah dan sekali gus dijangka kembali bergandingan dengan Kien Keat untuk bergerak secara profesional.

Kien Keat yang meninggalkan BAM Februari, tahun lalu mendedahkan ada menerima tawaran daripada penaja untuk mereka bergandingan semula.

Mengulas lanjut, Chin Chai, berkata fokus kini akan lebih terarah kepada gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kini menghuni ranking ke-81 dunia untuk bersaing merebut tempat ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro dengan kempen kelayakan bermula Mei ini.

"Untuk mendapat dua slot ke Sukan Olimpik memang sukar kerana ia memerlukan dua beregu negara berada dalam kelompok lapan terbaik. Jadi, jika dapat satu pun sudah dikira baik seperti Sukan Olimpik 2012 dengan Koo Kien Keat-Boon Heong menjadi wakil negara.

"Jadi, kita akan fokus kepada V Shem-Wee Kiong, namun beregu muda juga perlu cuba bersaing mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik. Memang sukar tetapi tidak mustahil," katanya.

Sepanjang tujuh tahun setengah Kien Keat-Boon Heong bergandingan, bekas pasangan nombor satu dunia itu merangkul dua gelaran utama iaitu pingat emas Sukan Asia 2006 dan kejuaraan Seluruh England 2007, selain muncul naib juara Kejohanan Dunia 2010.

INFO

Ranking dunia beregu lelaki

1 Lee Yong-dae-Yoo Yeon-seong (Korea Selatan)......... 87,738 mata

2 Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark).................69,270

Carsten Mogensen 69270

3 Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel (Korea Selatan)..........65,930

4 Lee Sheng-mu-Tsai Chia-hsin (Taiwan)........................ 65,898

5 Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) .... 64,250

(Nota: Ranking terbaik Malaysia adalah Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pada 51 tetapi pasangan ini sudah berpecah ketika ini)

Berita Harian X