Ahad, 22 Februari 2015 | 9:58am

Usaha pertingkat bilangan siswazah berkemahiran

Taklimat Pelan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Profesor Dr Asma Ismail di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini yang memberikan fakta proses pendidikan di negara kita adalah amat menarik sekali.

Taklimat dalam sesi pendengaran awam yang diadakan di seluruh negara itu sewajarnya memberikan senario jelas mengenai sektor pengajian tinggi negara terutamanya Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang disediakan oleh anak tempatan sepenuhnya membabitkan 14 bahagian pasukan penulis, 20 penulis utama dan 42 penulis yang mengemukakan 10 anjakan untuk masa hadapan pengajian tinggi negara sebagai sebahagian proses evolusi sistem pendidikan yang berteraskan rentak global.

Hakikatnya ialah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan rakyat negara ini bertambah 70 peratus, enam kali ganda peningkatan dalam pengajian ijazah sarjana muda (1990-2010) dan 10 kali ganda peningkatan dalam penghasilan siswazah sarjana dan doktor falsafah, dengan Malaysia kini menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

Peningkatan ketara penyelidikan

Begitu juga berlaku peningkatan amat ketara dalam usaha penyelidikan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, terutamanya dengan adanya Universiti Penyelidikan.

Berlaku lebih tiga kali ganda peningkatan penghasilan penerbitan berkualiti antara tahun 2007- 2012 yang adalah tertinggi di dunia, empat kali ganda peningkatan sitasi, 70 peratus penerbitan dihasilkan melalui Universiti Penyelidikan, peningkatan 11 peratus paten yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-28 dunia pada tahun 2011, serta RM1.25 bilion nilai pendapatan yang diperoleh Universiti Penyelidikan sebagai penyedia penyelesaian kepada industri, agensi, pertubuhan sukarela dan sebagainya.

Malah, kata Asma, universiti tempatan berada pada kedudukan ke-151 - 700 ranking dunia termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di samping berada pada kedudukan ke-151 terbaik dalam kalangan Pertubuhan Negara Islam Sedunia (OIC), dengan UIAM diiktiraf sebagai 'Premier International Islamic Research University by ISESCO' dalam tahun 2015.

Ini adalah antara sumbangan besar institusi pengajian tinggi negara kita yang mungkin jarang mendapat perhatian selama ini. Universiti kita juga berada pada kedudukan yang tinggi dalam ranking subjek, misalnya USM yang menduduki tempat ke-28 dalam Sains Persekitaran.

Mengambil kira penghasilan siswazah ijazah pertama dan ijazah tinggi yang begitu besar jumlahnya, universiti kita saban tahun berjaya menjimatkan perbelanjaan negara dalam memberikan pendidikan tinggi kepada anak muda kita yang sebelum ini terpaksa dihantar ke pelbagai negara luar, terutamanya untuk mengikuti pengajian ijazah tinggi.

Hasilkan masyarakat berilmu

Usaha seterusnya ialah bagaimana untuk menukar persepsi terhadap pengajian tinggi dan mendidik masyarakat memahami peranannya dalam pembangunan negara dan proses pembinaan bangsa yang berdaulat dan merdeka dengan nilai jati diri yang kuat. Misalnya, untuk memastikan pada masa hadapan siswazah kita bukan sahaja yang mencari pekerjaan tetapi juga mampu membangunkan peluang pekerjaan baharu, serta bagaimana menghasilkan anak muda dan masyarakat berilmu yang bermentaliti keusahawanan dan kesukarelawanan yang tinggi dalam membangunkan negara.

Usaha Kementerian Pendidikan mempromosikan usaha meningkatkan bilangan pelajar yang memasuki pengajian dalam kategori TVET atau 'Technical and Vocational Education and Training' yang lebih menumpukan kepada kemahiran dengan peluang pekerjaan yang terbuka luas berbanding pengajian akademik konvensional yang sedia ada, perlu difahami dan disokong.

TVET yang menjadi tumpuan beberapa buah universiti adalah penting dalam memastikan anak muda kita berdikari dan membangunkan ekonomi negara dalam pembangunan yang lestari dengan proses pendidikan yang merangkumi secara formal dan tidak formal dengan mendedahkan mereka kepada dunia pekerjaan teknikal pada masa hadapan.

Yang perlu terus dilaksanakan ialah memperkasakan pengajian tinggi dalam kalangan siswazahnya sebagai satu tenaga besar bakat berilmu yang dapat menyumbang kepada proses pembinaan negara bangsa yang berpegang teguh kepada nilai hidup yang menghargai kepelbagaian yang ada.

Sumbangan kira-kira 50,000 siswazah dan sukarelawan dari pelbagai universiti bekerja bersama-sama dalam satu kapasiti tanpa entiti yang khusus ketika banjir besar di negara kita pada hujung tahun lalu, membuktikan bahawa kekuatan yang ada sepatutnya diperkukuhkan, bukan hanya dalam kalangan pelajar tetapi juga dalam kalangan warga lainnya untuk berkongsi kekuatan sebagai satu entiti universiti Malaysia yang terus cemerlang.

Penulis ialah ​Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia

Berita Harian X