Isnin, 9 Februari 2015 | 8:01am
Galeri Pameran dan Jualan Jade Palace di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Galeri Pameran dan Jualan Jade Palace di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Greenland lancar galeri di Danga Bay

Siew Kiong (tiga dari kiri) bersama Shao Hua (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Galeri Pameran dan Jualan Jade Palace di Johor Bahru, semalam. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Greenland Group, syarikat hartanah terkemuka China, melancarkan galeri pameran dan jualan projek hartanah sulungnya di Malaysia iaitu Jade Palace di Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

Galeri pameran dan jualan yang dibangunkan menerusi anak syarikatnya, Greenland Danga Bay Sdn Bhd adalah yang kedua selepas di Menara Landmark yang dilancarkan Disember, tahun lalu.

Pengurus Besar Greenland Group, Wu Shao Hua, berkata galeri yang dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam itu akan menjadi galeri utama untuk projek Jade Palace yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.8 bilion.

Peluang orang ramai lihat rekaan hartanah

Katanya, galeri yang lengkap dengan pelbagai kemudahan itu, antaranya akan menempatkan ruang pameran untuk projek hartanah mewah Jade Palace yang membabitkan pembinaan apartmen dan rumah kelab di tapak seluas 70,569.98 meter persegi.

"Pembinaan galeri khas Jade Palace membolehkan orang ramai memilih serta melihat sendiri konsep serta rekaan yang diterapkan melalui projek ini," katanya pada majlis pelancaran Galeri Pameran dan Jualan Jade Palace di Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

Galeri Pameran dan Jualan Jade Palace di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Yang turut hadir ialah Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd, Tan Sri Lim Kang Hoo; Pengerusi IWH Sdn Bhd, Datuk Ayub Mion dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Abdul Rahman Dewam. 

Projek di bandaraya utama

Greenland Group kini berada di kedudukan ke-359 dalam kajian Fortune Global, selain memiliki projek hartanah besar di beberapa bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Sydney, London dan Korea Selatan.

Shao Hua berkata, bagi fasa pertama Jade Palace, sebanyak 2,800 unit apartmen akan dibina dan dijangka siap menjelang tahun 2018.

Sementara itu, Siew Kiong berkata, projek pembangunan baharu itu mampu memacu lagi perkembangan ekonomi di Wilayah Pembangunan Iskandar serta satu usaha membawa Bandaraya Johor Bahru bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2020.

"Ia juga membuktikan Wilayah Pembangunan Iskandar dan bandar raya ini mampu menarik pelabur luar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang seterusnya dapat dimanfaatkan semua," katanya.

Berita Harian X