Sabtu, 7 Februari 2015 | 5:38am

Fahami, hayati manfaat pelaksaan GST

Dalam konteks pembangunan dan kemajuan negara, 5 tahun bukanlah suatu tempoh yang panjang bagi Malaysia untuk mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju pada 2020. Wawasan 2020 yang dilancarkan sejak tahun 1991 diteruskan kesinambungannya dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan juga Program Transformasi Ekonomi (ETP), hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh, proses memperkasa ekonomi negara sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi penting seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain.

Sejajar dengan matlamat untuk mencatat pertumbuhan ekonomi negara yang meningkat saban tahun, usaha berterusan dalam menambah hasil negara terus dititikberatkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan pengumuman pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April depan.

Tidak dinafikan bahawa banyak maklum balas yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan selepas pengumuman untuk melaksanakan GST ini dibuat. Segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST ini dilihat terdiri daripada golongan yang masih kurang faham mengenai sistem percukaian GST. Manfaat GST bukanlah kepada pihak pemerintah semata-mata, malah GST turut menjanjikan faedah kepada pengguna dan peniaga.

Faedah jangka panjang

Pengguna akan mendapat faedah jangka masa panjang daripada pelaksanaan GST ini apabila hasil dan pendapatan kerajaan daripada GST boleh digunakan untuk tujuan pembangunan infrastruktur sosial seperti kemudahan kesihatan, institusi pendidikan dan kemudahan awam untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

Melalui GST pengguna juga akan membayar harga berpatutan untuk barangan dan perkhidmatan selepas penghapusan cukai berganda seperti yang berlaku di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang. GST adalah sistem percukaian yang menggantikan SST, dan bukannya cukai tambahan ataupun lebihan yang dikenakan kepada pengguna.

Antara fakta yang lain mengenai GST yang mungkin masih tidak diketahui ramai adalah ada barang dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan GST. Dalam sistem percukaian GST ini, ada kumpulan barangan berkadar sifar dan juga kumpulan barangan yang dikecualikan yang mana semua barangan yang tersenarai di bawah kedua-dua kumpulan ini tidak akan dikenakan GST.

Contoh barangan yang tidak dikenakan GST adalah barang makanan seperti beras, tepung gandum, gula pasir, susu bayi, roti putih, produk pertanian, binatang ternakan dan daging, ubat-ubatan, bahan bacaan serta perkhidmatan awam seperti rel, bas, teksi, pendidikan dan kesihatan. Bagi menjamin rakyat Malaysia, terutama golongan pendapatan rendah hanya menerima kesan dan impak yang minimum dengan pelaksanaan GST.

Tidak bayar cukai berganda

Ketelusan sistem percukaian GST yang mengutip cukai di setiap peringkat menyebabkan pengguna tidak lagi membayar cukai berganda yang dimasukkan dalam harga akhir jualan seperti dalam sistem cukai jualan sekarang.

Bagi peniaga pula, antara manfaat yang boleh dinikmati adalah kos perniagaan yang lebih rendah apabila peniaga boleh menuntut semua cukai input yang sekali gus akan menurunkan kos perniagaan berkenaan. Dengan ini, perniagaan akan menjadi lebih kompetitif dan meningkatkan daya saing positif antara peniaga.

GST adalah sistem percukaian yang lebih telus dan saksama yang dikenakan secara adil ke atas peniaga dalam rantaian pembekalan dan pengedaran seperti pengilang, pemborong, peruncit dan pihak lain berada dalam sektor perkhidmatan.

GST juga akan meningkatkan daya saing global dengan menjadikan eksport negara lebih kompetitif kerana tiada GST yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang dieksport. Nilai eksport yang lebih tinggi akan membantu pembangunan ekonomi negara bagi untuk mengejar status negara maju.

Malaysia bakal mengikut jejak langkah 160 buah negara di serata dunia termasuk negara maju dan berpendapatan tinggi seperti United Kingdom, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Australia, Norway, Sweden dan lain-lain lagi yang telah melaksanakan GST di negara mereka.

Bertepatan dengan slogan 'Membangun dan Maju Bersama' GST sebagai senjata ampuh dan serampang dua mata dalam memastikan sistem percukaian di Malaysia lebih moden dan mapan, sekali gus memperbaiki sebarang kelemahan sistem percukaian sekarang.

Penulis ialah pelajar Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi UiTM

Berita Harian X