Jumaat, 6 Februari 2015 | 7:50pm
Gambar hiasan.

88 peratus warga kita bimbang pencen dalam miskin

KUALA LUMPUR: Krisis pencen Asia boleh menjadi lebih buruk apabila berjuta-juta pekerja yang mencipta keajaiban ekonomi rantau itu dijangka bergelut dengan usia tua mereka, demikian dedah satu kaji selidik HSBC.

HSBC dalam satu kenyataan hari ini berkata kaji selidiknya mengenai Masa Depan Persaraan menunjukkan hampir 70 peratus penduduk Asia bimbang kehabisan wang semasa persaraan mereka.

"Satu pertiga daripada mereka berkata mereka terpaksa mengurangkan tabungan bagi pencen mereka berikutan krisis kewangan global.

"Di Malaysia, 88 peratus bimbang tidak mempunyai wang mencukupi untuk kehidupan seharian mereka selepas bersara.

"Empat puluh satu peratus berkata membeli rumah dan membayar gadai janji menjejaskan keupayaan mereka untuk menabung bagi persaraan manakala 30 peratus lagi berkata membayar pendidikan anak-anak mengurangkan tabungan mereka," kata HSBC.

Kaji selidik itu yang dijalankan ke atas seramai 16,000 orang di 15 negara menunjukkan hanya peratusan kecil yakin boleh hidup selesa apabila mereka berhenti bekerja.

"Hanya 15 peratus responden dari Malaysia, sembilan peratus dari Singapura dan 11 peratus dari Hong Kong berkata mereka yakin dengan situasi kewangan mereka selepas bersara," HSBC.

Ketua bahagian perbankan runcit dan pengurusan harta HSBC Malaysia, Lim Eng Seong berkata penduduk Malaysia dijangka meningkat sebanyak 31.2 peratus dalam tempoh dua dekad akan datang mencecah lebih 37 juta menjelang 2030.

"Perkadaran mereka yang berusia 60 tahun ke atas diunjur mengatasi penduduk lebih muda yang berusia 0-14 tahun pada 2049.

"Bagi tempoh 20 tahun, usia pertengahan di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5.7 tahun daripada 26.0 tahun pada 2010 kepada 31.7 tahun pada 2030. Ini berbanding peningkatan 6.4 tahun di Asia dan 4.8 tahun di Eropah dalam tempoh sama," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X