Khamis, 5 Februari 2015 | 4:28pm
MODEL bergaya dengan dua buah motosikal baru yang dikeluarkan Syarikat Perniagaan SYM, Attila Elizabeth dan Symphony 150 dalam Majlis Sambutan Berganda - Pelancaran 2 Model Yang Bergaya dan elegan Serta Sambutan Tahun Baru Cina 2015 di Bukit Mertajam Selasa lalu. - Foto Amir Irsyad Omar

Kapcai dorong jualan tinggi SYM

KUALA LUMPUR: Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (SYM Malaysia), pengedar motosikal jenama SYM dari Taiwan menyasar untuk menjual sekurang-kurangnya 90,000 unit motosikal tahun ini daripada 83,000 unit tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi, Fabian Ong, berkata sasaran lebih tinggi itu bakal dipacu pengenalan beberapa model baharu dengan tumpuan utama kepada segmen kapcai selain pengukuhan jaringan pengedarannya di seluruh negara.

Syarikat yakin dapat mencapai angka jualan yang disasarkan dengan 85 peratus daripada jualan keseluruhan dijangka disumbangkan segmen kapcai.

"Segmen kapcai merangkumi 25 peratus bahagian pasaran motosikal di Malaysia. Selain itu, kami juga akan menokok bilangan pengedar di seluruh negara daripada 250 sekarang," katanya selepas perasmian pejabat urusan SYM Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysian Formula Bikes Sdn Bhd, Datuk Seri Arifuddin Mohamed Shah; Pengarah Urusan SYM Malaysia, Datuk Seri Leo Tan Lean Heah; dan Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, Wee Hong.

Tahun lalu, SYM Malaysia menjual 83,000 unit motosikal dengan 84 peratus daripadanya disumbangkan oleh segmen kapcai.

Ketika ini, SYM Malaysia menawarkan 14 model motosikal merangkumi segmen kapcai, skuter dan street bike.

Motosikal keluaran SYM dipasang di kilang milik Malaysian Formula Bikes di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak tahun 2009. Kira-kira 200,000 unit motosikal SYM sudah berada di atas jalan raya di seluruh negara.

Berita Harian X