Khamis, 29 Januari 2015 | 6:57pm
Pelancaran Lexus NX di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

NX perkukuh jenama Lexus di Malaysia

KUALA LUMPUR: Lexus Malaysia memperkenalkan Lexus NX, model crossover kompak sporty, sejajar gerak kerja agresif syarikat untuk meningkatkan daya saing dalam segmen kenderaan premium.

Unit perniagaan kenderaan mewah UMW Toyota Motor Sdn Bhd itu, menyasar jualan kira-kira 2,000 unit Lexus NX tahun ini, sekali gus dijangka menguasai 50 peratus pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak mewah.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, berkata syarikat sudah menerima 600 unit tempahan sejak Oktober lalu dengan pilihan varian paling popular adalah F Sport yang menepati cita rasa golongan muda eksekutif.

"Kini kami memiliki model NX dan ini berita baik untuk meningkatkan lagi keyakinan pengguna. Ditambah lagi dengan prestasi model GS dan RX, ketiga-tiga model ini penting untuk melonjakkan jualan kami tahun ini," katanya selepas pelancaran Lexus NX di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusinya, Akio Takeyama; Ketua Jurutera Lexus NX, Takeaki Kato; dan Naib Presiden Bahagian Lexus Asia Pasifik, Paul Carroll.

Lexus Malaysia menawarkan lima varian Lexus NX dengan tanda harga antara RM292,000 hingga RM375,000 tanpa insurans.

NX yang dijana enjin 2.0 liter turbo kombo dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan menghasilkan 235 bhp dan tork maksium 350Nm.

Berita Harian X