Isnin, 26 Januari 2015 | 5:13pm
Semakan semula Bajet 2015 Malaysia menjadikan trend penyepaduan fiskal asingnya teguh, kata Moody's. - Foto Reuters

Trend penyepaduan fiskal kerajaan Malaysia teguh - Moody's

SINGAPURA: Semakan semula Bajet 2015 Malaysia menjadikan trend penyepaduan fiskal asingnya teguh, kata Moody's.

Perkara itu dinyatakan dalam 'Moody's Credit Outlook' yang disiarkan hari ini oleh Christian De Guzman, Naib Presiden - Penganalisis Kanan, Kumpulan Risiko Kerajaan, Moody's Investors Service Singapore Pte Ltd.

Selasa minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semakan semula bajet dan pelbagai langkah lain untuk menangani kesan penurunan harga minyak ke atas ekonomi dan kedudukan fiskal kerajaan.

De Guzman berkata penyelarasan difokuskan ke atas pengurangan operasi perbelanjaan, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memenuhi peraturan fiskal dan trend penyepaduan fiskal.

Dalam bajet yang disemak semula itu, kerajaan menurunkan unjurannya ke atas minyak mentah Brent kepada purata AS$55 setong pada 2015 daripada AS$100 dalam bajet yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu.

Semakan semula sebanyak RM12.3 bilion (kira-kira 1.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) oleh kerajaan persekutuan itu sebahagian besarnya diimbangi dengan pengurangan RM11.0 bilion (1.0 peratus KDNK) perbelanjaan operasi, yang membantu mengekalkan lebihan operasi lebih daripada RM10.0 bilion.

Jika tiada penyesuaian, De Guzman berkata lebihan operasi kerajaan akan berkurangan kepada RM3.6 bilion, yang menyukarkannya untuk beroperasi berikutan kedudukan fiskal semasa memerlukan kerajaan menjalankan operasi yang lebih luas.

Kerajaan juga menurunkan unjurannya bagi pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus peratus hingga 5.5 peratus berbanding 5.0-6.0 peratus dalam bajet asal.

Pengurangan ini menunjukkan kesan harga minyak yang rendah ke atas ekonomi dengan petroleum mentah, keluaran petroleum, dan gas asli cecair merangkumi lebih daripada satu perlima daripada jumlah eksport dan pertumbuhan yang kurang memberangsangkan dalam kalangan rakan dagangan utama Malaysia.

Berdasarkan perubahan bajet ini, unjuran KDNK yang lebih rendah menyumbang kepada peningkatan unjuran defisit bajet kepada 3.2 peratus daripada KDNK daripada 3.0 peratus.

Bagaimanapun, trend penyatuan fiskal akan tetap kukuh, jika kerajaan memenuhi sasarannya untuk 2015, penurunan tahunan enam kali berturut-turut. Ia juga kekal jika kerajaan terus memberi lebih keutamaan kepada defisit fiskal untuk sokongan jangka masa terdekat ekonomi.

"Walaupun risiko penurunan harga minyak dunia kekal, risiko ke atas bajet Malaysia masih terkawal, berikutan kerajaan tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak," kata De Guzman.

Beliau berkata pada 2013, tahun terakhir data tahun penuh diperoleh, jumlah pendapatan daripada sumber petroleum berjumlah 30.3 peratus daripada hasil kerajaan persekutuan, turun berbanding 39.8 peratus pada 2009.

"Dividen daripada PETRONAS, syarikat minyak negara tidak menunjukkan hubungan langsung dengan harga minyak. Hasil Cukai langsung tidak termasuk hasil berkaitan petroleum, memacu pertumbuhan hasil dalam tempoh lima tahun lalu, sebahagiannya disebabkan peningkatan cukai pentadbiran.

"Kepelbagaian lanjut hasil kerajaan juga akan berlaku tahun ini menerusi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan berkuat kuasa April. Selain itu, kerajaan tidak mengubah peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan, yang memberi ruang untuk pemotongan perbelanjaan tambahan jika perlu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X