Ahad, 25 Januari 2015 | 12:08pm

Pusat beli-belah di Johor disaran pelbagai dekorasi tarik pelancong


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) bergambar dengan panda selepas merasmikan "Made In Malaysia" Paper Manche Panda Workshop & Exhibition di JB R&F Prince Cove Showroom, Johor Bahru, semalam. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Pusat membeli-belah di Johor disaran supaya mempelbagaikan dekorasi premis mereka sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pelancong sekali gus menjana pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata dekorasi yang inovatif amat perlu supaya setanding dengan pusat beli-belah antarabangsa lain bagi memikat pelancong.

"Mengikut statistik Tourism Malaysia, sektor beli-belah merupakan sumber pendapatan pertukaran asing kedua terbesar negara selepas penginapan iaitu RM19.77 bilion pada 2013.

"Sehubungan itu kerajaan negeri menggalakkan usaha pusat beli-belah mempelbagaikan dekorasi mereka terutama pada musim perayaan dan festival," katanya selepas merasmikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di kompleks beli-belah Komtar Johor Bahru City Centre, malam tadi.

Beliau berkata selain dekorasi, penganjuran aktiviti dan program pusat beli-belah yang berkait dengan sambutan perayaan turut digalakkan.

Tee berkata, sejajar dengan rancangan kerajaan meningkatkan kekerapan dan pemanjangan tempoh operasi jualan mega, pihaknya yakin lebih ramai pelancong akan membeli belah di negeri ini.

"Sebanyak 30 juta pelancong Singapura dicatatkan memasuki Malaysia pada tahun 2013 dan memandangkan Johor merupakan pintu masuk utama ke Malaysia, sudah semestinya kita menerima bilangan pelancong yang ramai terutamanya pada hujung minggu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata usaha mempromosi produk pelancongan Johor ke negara serantau akan digiatkan menerusi Forum Pelancongan Asean (ATF) 2015 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Beliau berkata, antara yang turut serta dalam delegasi yang diketuainya yang berlepas ke Myanmar hari ini termasuk wakil Jabatan Pelancongan Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, agensi swasta, Taman Tema Legoland dan Taman Tema Puteri Harbour.

-- BERNAMA

Berita Harian X