Khamis, 28 Ogos 2014 | 5:59pm
PEKERJA di loji pemangan Inokom membuat pemeriksaan akhir Hyundai Elantra untuk dieksport ke Thailand. - Foto Amir Irsyad Omar

Inokom eksport Hyundai Elantra ke Thailand

KULIM: Inokom Corporation Sdn Bhd mengembangkan operasi pemasangan kenderaan menerusi model Hyundai Elantra yang akan dieksport sebanyak 1,000 unit ke Thailand tahun ini.

Pengarah Urusan, Rizal Jailan, berkata model itu adalah kereta sedan pertama yang akan dieksport syarikat itu.

Buat permulaan, katanya, 200 unit model berkenaan sudah dieksport ke Thailand melalui Hyundai Motor Corporation (HMC) Thailand sejak Jun lalu dan 200 unit lagi bakal dihantar pada awal bulan depan.

"Kami jangka dapat menyelesaikan urusan pengeksportan model ini ke Thailand selewat-lewatnya pada Jun 2015," katanya pada pelancaran program eksport model itu ke Thailand di sini hari ini.

Yang hadir sama Presiden HMC Thailand, Hideki Yanagisawa dan Ketua bagi Ibu Pejabat Rantau Asia Pasifik Hyundai Motor Company, Kim Hoo Keun.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, jumlah yang akan dieksport ke Thailand dijangka meningkat seiring dengan permintaan pasaran kerana model yang dipasang di Malaysia lebih murah berikutan pelaksanaan rangka kerja perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

"Dengan permintaan ini, kami harap turut dapat memasang dan mengeksport model Hyundai lain ke Thailand," katanya.

Inokom yang terbabit dalam kegiatan pemasangan kenderaan penumpang dan komersial ringan memperuntukkan RM40 juta untuk meningkatkan keupayaan pemasangan terutama bahagian mengecat.

Perbelanjaan modal berkenaan disusun untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran kepada 34,000 unit setahun menjelang Jun tahun depan, daripada 28,000 unit sekarang.

Selain Hyundai, Inokom juga memasang tujuh jenama lain iaitu BMW, Mazda, Mini, Land Rover, Ford, Foton dan Jinbei.

Sementara itu, Yanagisawa berkata tiga varian Hyundai akan dijual di Thailand iaitu 1.8 GLS Navi, 1.8 GLE dan 1.8 GL yang masing-masing dijual pada harga dari THB749,000 (RM73,930) hingga THB898,000 (RM88,637)," katanya.

Berita Harian X