Jumaat, 23 Januari 2015 | 8:22am

Didikan akhlak terpuji bermula dari rumah

Tarbiah Jinsiah atau dikenali juga sebagai Pendidikan Seksual seharusnya diberi pendedahan kepada kanak-kanak seawal umur remaja lagi.

Sekiranya kita melihat fenomena yang berlaku kepada anak muda kini, ia berkait rapat dengan tarbiah jinsiah. Islam menggariskan beberapa perkara di dalam tarbiah jinsiah untuk kita sebagai manusia mengambil panduan daripadanya.

Ustazah Norhafizah Musa dalam rancangan Usrati yang bersiaran Khamis lalu jam 5.15 petang menekankan betapa Islam menitikberatkan tarbiah jinsiah bermula dari rumah.

Ia merangkumi ilmu Islam yang menggariskan tatacara seorang anak terhadap ahli rumah yang lain, termasuk berurusan dengan kedua-dua ibu bapa.

Minta izin masuk bilik ibu bapa

Di dalam al-Quran disebutkan bagaimana sikap seorang anak yang hampir atau baligh perlu meminta izin daripada kedua-dua ibu bapanya sebelum memasuki bilik mereka.

Allah berfirman di dalam Surah an-Nur, ayat 58 hingga 59 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak. Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa berkenaan (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dalam kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Apa yang ditekankan di dalam al-Quran ini adalah pendidikan atau pencegahan bagi banyak perkara dan tidak boleh dianggap remeh kerana seorang anak yang sedang membesar mempunyai perasaan serta naluri ingin tahu terhadap banyak perkara.

Pandangan perlu dijaga

Pada masa sama, pandangannya sangat perlu dijaga. Antara hikmah di sebalik tarbiah jinsiah seawal usia hampir baligh ialah untuk membendung anak-anak daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya.

Namun begitu, bagaimanakah gejala sosial dalam kalangan remaja dalam sudut seksual begitu berleluasa?

Ustazah Norhafizah Musa merungkai permasalahan ini dengan melihat apa yang berlaku adalah kerana naluri seksual anak-anak ini tidak berjalan secara alami, malah ia dirangsang hasil daripada menonton atau melihat perkara tidak sepatutnya.

Hikmah di sebalik panduan Islam ini adalah untuk mendidik anak-anak bahawa setiap perkara dalam kehidupan kita ada batasannya, sama ada makan, pergaulan, akhlak, percakapan dan sebagainya.

Setiap perkara yang melanggar batas akan membawa kita kepada melakukan dosa dan dosa yang kita lakukan mempunyai rangkaiannya.

Apabila kita melakukan sesuatu dosa, ia akan membuka pintu untuk kita melakukan dosa yang lain pula dan begitulah seterusnya. Batasan di dalam Islam adalah untuk mencegah kita daripada melakukan dosa.

Dalam hal ini, ibu bapa disaran menjadikan bilik tidur mereka satu tempat yang istimewa, iaitu bukan tempat yang sewenang-wenangnya boleh dimasuki ahli keluarga atau saudara-mara.

Bilik tidur adalah 'tempat rahsia' suami isteri kerana ada sesetengah perkara atau barang yang tidak boleh diketahui atau dilihat oleh orang lain, melainkan hanya mereka berdua sahaja.

Rasulullah SAW mengajarkan adab meminta izin memasuki bilik kepada Anas sewaktu beliau menjadi pelayan Nabi SA.

Suatu masa, Anas masuk ke tempat Baginda tanpa meminta izin terlebih dahulu, dan pada suatu hari ketika Anas datang ke tempat Nabi, Baginda bersabda yang bermaksud, "Tahukah engkau wahai Anas bahawa sesudah itu telah turun ayat yang menegaskan bahawa engkau tidak boleh masuk tanpa izin terlebih dahulu." (Riwayat Bukhari).

Didik rasa malu dalam diri

Selain itu, tarbiah jinsiah juga adalah sebagai didikan kepada anak-anak untuk menundukkan pandangan. Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak-anak supaya mempunyai rasa malu di dalam diri mereka, terutamanya dalam kalangan anak perempuan.

Firman Allah SWT di dalam Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."

Dalam hal ini, Sheikh Abdul Al Hamid mengajak umat Islam bermuhasabah diri dengan membawa satu kisah di dalam ceramah beliau berkenaan seorang bukan Islam, iaitu ilmuwan Jerman di dalam bidang pendidikan memberikan satu komentar terhadap usaha dan cara Islam dalam tarbiah jinsiah yang berkait rapat dengan menundukkan pandangan.

Ilmuwan itu memberitahu bahawa dia mempelajari ilmu psikologi dan pelbagai ubat untuk mengatasi persoalan seksual, tetap tidak menjumpai walau satu penawar atau cara yang lebih mujarab daripada firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi SAW di dalam surah berkenaan An-Nur, ayat 30 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci dari mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan."

Akhirnya, ibu bapa perlu merancang pendidikan seksual awal dari rumah, bermula usia sebelum baligh. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul sepatutnya kita lebih mengambil berat dengan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya menghindarkan diri kita daripada melakukan dosa dan akhirnya mendapat keredaan Allah SWT dalam kehidupan kita.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X