Rabu, 21 Januari 2015 | 1:59pm
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Perutusan Khas Mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. - Foto BERNAMA

Defisit bajet 3.2 peratus boleh dicapai - Affin Hwang

KUALA LUMPUR: Defisit bajet 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2015 boleh dicapai, kata Affin Hwang Investment Bank Bhd.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan sasaran defisit fiskal bagi semakan semula Bajet 2015 pada 3.2 peratus, naik sedikit daripada tiga peratus yang ditetapkan pada tahun lepas.

"Bagaimanapun, terdapat risiko belanjawan Malaysia boleh menjadi lebih besar, berikutan kemungkinan kekurangan perolehan hasil cukai, terutama daripada cukai langsung, dengan persekitaran luaran yang masih tidak menentu," menurut firma penyelidikan dalam notanya hari ini.

Mengenai prospek kredit berdaulat negatif negara, Affin Hwang berkata risiko penarafan negara Malaysia diturunkan adalah kecil.

"Agensi penarafan antarabangsa dijangka menimbang usaha berterusan kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal, terutamanya dengan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata ia percaya pengurusan dasar fiskal dijangka diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal berikutan kerajaan terus memperkenal langkah-langkah pengukuhan fiskal. - BERNAMA

Berita Harian X