Selasa, 20 Januari 2015 | 7:00pm

GST bawa pendapatan tambahan RM1 bilion kepada kerajaan

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula 1 April ini dijangka membawa tambahan RM1 bilion kepada pendapatan kerajaan tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pendapatan tambahan itu datang daripada lebih 304,000 syarikat yang mendaftar untuk GST setakat ini.

"Bilangan syarikat yang mendaftar melepasi sasaran awal kami 120,000 syarikat.

"Pendapatan tambahan ini membolehkan kerajaan menampung impak pengurangan perbelanjaan mengurus sebanyak RM5.5 bilion berikutan harga minyak mentah Brent global yang lebih rendah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perutusan khas langkah-langkah memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.

Mohd Irwan berkata harga minyak mentah Brent yang jatuh kepada sekitar AS$48 setong semalam, menyusut lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan lepas.

"Kita ada kekurangan RM13.8 bilion dalam pendapatan disebabkan kejatuhan mendadak harga minyak mentah.

"Nasib baik kita akan melaksanakan GST yang membolehkan kita meraih RM1 bilion atau lebih dan ini dapat membantu kita mengembalikan defisit kita pada tiga peratus," katanya.

Mohd Irwan berkata kerajaan menjangka memperoleh RM23.18 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama menerusi GST berbanding hanya RM14.4 bilion jika kekal dengan cukai jualan dan perkhidmatan semasa.

"Bagi tahun penuh 2016, GST dijangka menyumbang RM32 bilion kepada pendapatan kerajaan," katanya.

Sementara itu, langkah kerajaan menambah pendapatan menerusi CBP dan pengurangan perbelanjaan mengurus dilihat menghantar isyarat positif bahawa kerajaan komited terhadap pengukuhan fiskalnya.

Menurut AllianceDBS Research Sdn Bhd, semakan bajet adalah perlu bagi menangani kebimbangan semasa terhadap daya tahan ekonomi.

"Bajet yang disemak semula membuat anggaran realistik berdasarkan paras harga minyak mentah semasa," katanya.

Bagaimanapun, jika harga minyak mentah jatuh lebih rendah kepada AS$40 setong, kemungkinan besar kerajaan harus terus mengekang perbelanjaan dan mungkin mengurangkan perbelanjaan pembangunan.

Dalam nota lain, UOB Global Economics and Markets Research berkata bajet disemak semula menunjukkan komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, namun ia bergantung kepada sama ada unjuran pendapatan dapat dicapai dalam keadaan persekitaran mengurus yang lemah dan ketidaktentuan pasaran. - BERNAMA

Berita Harian X