Selasa, 20 Januari 2015 | 1:15pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan perutusan khas Perkembang Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto AP

PM: Kerajaan sasar defisit tahun ini pada 3.2 peratus

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini menetapkan sasaran defisit tahun ini dikaji semula kepada 3.2 peratus daripada KDNK berbanding jangkaan asal 3.0 peratus berikutan kejatuhan harga minyak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, paras defisit akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK tahun ini sekiranya langkah proaktif penyesuaian tidak diambil.

Bercakap ketika menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di sini hari ini, Najib berkata: "Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak dapat mencapai sasaran asal Bajet 2015 disebabkan faktor luaran, antaranya perubahan harga minyak dunia.

"Namun yang penting ialah komitmen kita untuk terus mengurangkan defisit fiskal," kata Najib.

Beliau berkata, kadar sasaran terbaharu itu masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK pada 2014.

Perdana Menteri turut menegaskan strategi-strategi kerajaan yang diumumkan hari ini, merupakan langkah proaktif penyesuaian berikutan faktor luaran di luar kawalan, dan negara tidak berada dalam keadaan gawat atau krisis.

Najib berkata, minyak mentah pada harga AS$55 setong yang diunjurkan sekarang, kerajaan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

"Sekali pun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak RM10.7 bilion, kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak RM8.3 bilion bagi menampung langkah Bajet 2015," katanya Najib.

Keadaan ini memerlukan kerajaan mengambil langkah mengurangkan defisit selaras dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal.

Menurut Najib, yang utama, kerajaan tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan negara dan mengabaikan kebajikan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X