Selasa, 11 Julai 2017 | 9:10pm

Huawei honor 8 Pro kini dijual di Malaysia


HUAWEI honor 8 Pro. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Huawei Honor Malaysia melancarkan telefon pintar terbarunya, honor 8 Pro, yang dilengkapi dengan kamera dwi lensa serta hayat bateri yang tahan lebih lama.

Pengarah Pemasaran Produk Wilayah Kumpulan Perniagaan Pelanggan Huawei, Luke Au berkata, kamera dwi lensa 12 megapiksel itu mampu merakam gambar dengan sempurna dengan julat apertur kamera luas (f/0.95-f/16) untuk memberikan rakaman video dan gambar yang cantik seperti menggunakan DSLR.

"Kami memberi penekanan kepada kualiti, inovasi dan kerjasama terbuka dengan rakan kongsi global dan honor 8 Pro menyasarkan untuk memberikan kesemua itu.

"Ia adalah telefon pintar dengan paparan skrin besar yang menyediakan prestasi mutlak kepada pengguna menerusi reka bentuk yang amat nipis," katanya selepas melancarkan telefon pintar itu di sini, hari ini.

Menurut Au, honor 8 Pro dijual di pasaran Malaysia mulai semalam dengan harga RM1,999. Telefon pintar ini bersaiz 5.7 inci dengan kapasiti storan dalaman 128GB dan resolusi Quad Definisi Tinggi 2K serta bateri berkapasiti 4000mAh dengan ciri-ciri penjimatan tenaga yang mampu mengekalkan hayat bateri lebih lama.

Model Huawei honor 8 Pro tampil dengan varian warna biru dan hitam menggunakan pemproses premium Kirin 960 terkini dan perisian terbaru EMUI 5.1.

Ia juga boleh menampung rakaman empat juta video, dikodkan dalam H.265 codec yang menghasilkan fail dua kali ganda.

Au berkata, kerangka logam peranti ini yang sangat nipis bersaiz 6.97 adalah satu kelompok padat yang merangkumi lebih daripada 1,000 komponen.

Beliau berkata, vMall, yang menjadi e-stor rasmi berlesen bagi telefon pintar Honor dan Huawei, akan menjadi platform dalam talian pertama menawarkan honor 8 Pro, diikuti dengan kedai sedia ada dan zon paparan bermula hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X