Isnin, 10 Julai 2017 | 9:43pm

SAMUR akan sumbang 10% pendapatan kepada PCG


PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), Sazali Hamzah. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) dijangka menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sazali Hamzah.

Menurutnya, projek berkenaan yang kini stabil dan beroperasi pada kapasiti penuh, berada di landasan yang betul dan sudah mula menyumbang kepada kumpulan.

"Dengan keputusan suku pertama yang sangat baik, ia akan terus memacu prestasi kami. Prestasi suku lalu adalah sama dengan tahun sebelumnya.

"Prestasi kami akan bergantung kepada harga minyak mentah dan harga produk itu," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Hari Raya di sini, hari ini.

SAMUR bertaraf dunia yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang adalah bahagian penting rancangan hiliran keseluruhan Petronas bagi mengoptimumkan sumber minyak dan gas yang ditemui di luar pesisir Sabah.

Projek itu terdiri daripada kilang ammonia, urea dan granulasi serta utiliti dan kemudahan jeti.

Ia berupaya menghasilkan 740,000 tan metrik setahun (MTPA) ammonia cecair dan 12. juta MTPA baja urea.

PCG mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.63 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017, berbanding RM896 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Pendapatan meningkat kepada RM4.69 bilion daripada RM3.14 bilion sebelumnya.

Sementara itu, mengenai usaha projek pembangunan bersepadu penapisan dan petrokimia mencari pelabur, Sazali berkata, ia kini sedang menilai lima syarikat.

"Kami tidak menetapkan sebarang tempoh untuk proses penilaian itu. Pelabur perlu mampu membawa cadangan nilai yang baik, sama ada kelebihan teknologi atau komersil," katanya.

PCG ialah pengeluar kimia bersepadu terkemuka di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. - BERNAMA

Berita Harian X