Sabtu, 8 Julai 2017 | 12:09pm

Pembeli serbu BH di Selayang Baru


KAKITANGAN Bahagian Jualan dan Edaran NSTP membuat jualan akhbar BH bersama Lifebuoy sempena ulang tahun ke-60 BH di Pasar Tani Selayang Baru. - Foto Mohd Yusni Ariffin

SELAYANG BARU: Promosi jualan akhbar BH bersama Lifebuoy di Pasar Tani Selayang Baru, pagi ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila 790 naskhah akhbar dijual dalam tempoh kurang dua jam.

Ketua Bahagian Jualan dan Edaran, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Alfian Alias, berkata akhbar BH dijual pada harga RM1.50 setiap satu dan pembeli akan menerima sabun Lifebuoy bernilai RM5 secara percuma.

Katanya, promosi jualan sempena sambutan ulang tahun ke- 60 tahun BH itu bermula 10 Jun hingga 29 Julai ini di 13 lokasi Semenanjung Malaysia.

"Pasar Tani Selayang Baru adalah lokasi ketiga program promosi ini. Sebelum ini, kita sudah adakan promosi sama di Pasar Besar Ampangan, Negeri Sembilan dan Pasar Tani Stadium Shah Alam, Selangor.

"Sambutan pagi ini di sini (Selayang Baru) menggalakkan. Tak sampai dua jam berada di sini, semua akhbar BH habis dijual," katanya.

Selain Alfian, seramai 10 kakitangan Jualan dan Edaran NSTP dan wartawan Meja Berita serta Mingguan BH iaitu Nazura Ngah, Siti Azila Alias, Siti Nur Mas Erah Amran dan Ahmad Suhael Adnan turun padang menjual akhbar kepada orang ramai.


KAKITANGAN Bahagian Jualan dan Edaran NSTP, Shazwani Ahmad (kiri) menjual akhbar BH kepada peniaga, Normah Mohd Abdullah, 60, sempena ulang tahun ke-60 BH di Pasar Tani Selayang Baru. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Mengulas lanjut, Alfian berkata, promosi itu akan turut menjelajah ke Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Katanya, promosi seumpama itu juga adalah tanda penghargaan kepada pembaca setia BH.

Pembaca setia BH, Normah Mohd Abdullah, 60, mengakui tidak pernah ketinggalan membaca akhbar itu sejak muda.

"Sejak dulu, saya akan beli BH dan baca bersama keluarga. Hari ini, saya beli tujuh keping naskhah BH untuk diberikan kepada anak-anak yang pulang berkumpul di rumah saya, setiap hujung minggu.

"Selain mendapat hadiah istimewa hari ini, banyak pembaharuan serta maklumat berguna boleh dikongsikan bersama keluarga," katanya.

Berita Harian X