Khamis, 6 Julai 2017 | 1:05pm

Moody's Analytics, Affin terima anugerah pelaksanaan teknologi

KUALA LUMPUR: Moody's Analytics dan Kumpulan Affin Bank Bhd (Affin) memenangi Anugerah Pelaksanaan Teknologi Risiko Kecairan Asian Banker bagi tahun 2017.

Dengan pelaksanaan perisian RiskAuthority dan RiskConfidence Moody's Analytics, Affin berjaya meningkatkan kecekapan operasi, keupayaan laporan dan analisis risiko mereka serta mencapai objektif keseluruhan untuk menambah baik keupayaan mengurus pendedahan risiko serta mengukuhkan proses membuat keputusan perniagaan.

Pengarah Urusan Moody's Analytics, Noah Berliner, berkata pihaknya berbesar hati menerima anugerah itu dari The Asian Banker dan berkongsinya dengan Affin.

"Anugerah ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu organisasi memenuhi keperluan kepatuhan dan operasi mereka. Perisian kami membolehkan Affin menyediakan satu rangka kerja pengurusan risiko yang holistik untuk memacukan perniagaan mereka ke hadapan.

"Pelaksanaan perisian Moody's Analytics menyokong perkembangan urus niaga Affin dengan meningkatkan proses automasi dari memuat naik data sehingga kepada penjanaan laporan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin, Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata pihaknya menggunakan perisian itu untuk mewujudkan satu aliran kerja yang konsisten.

Katanya, pelaksanaan itu juga meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik pengurusan risiko Affin sejajar dengan AFFINITY yang baru dilancarkan - program transformasi strategik bagi kumpulan.

"Susulan daripada peningkatan dalam keupayaan analisis data yang lebih kerap dan terperinci. Kami kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk memantau dan mengurus pendedahan risiko selaras dengan tahap selera risiko, serta melaksanakan kawalan pengesanan awal dan pembetulan, sekiranya perlu.

"Pelaksanaan platform pengurusan risiko secara menyeluruh ini merangkumi pengurusan risiko aset liabiliti dan untuk memenuhi keperluan kepatuhan serta menambah baik keupayaan pengurusan had pendedahan pihak balas secara bersepadu di Affin.

"Pelaksanaan perisian itu memudahkan dan menyatakan dengan lebih jelas pengurusan risiko merentasi pelbagai unit perniagaan, yang mana ia adalah asas untuk membina dan memantau budaya risiko yang mantap di Affin," katanya.

Susulan itu, Kamarul berkata, selera risiko dan pendedahan risiko lebih difahami oleh pelbagai unit perniagaan di Affin dan menghasilkan penyelarasan yang lebih baik serta lebih bersepadu dalam mencapai matlamat bersama.

Moody's Analytics adalah anak syarikat Perbadanan Moody's dengan pendapatan sebanyak AS$3.6 bilion pada tahun 2016 dan pekerja sejumlah kira-kira 10,600 serta mempunyai cawangan di 36 buah negara. - BERNAMA

Berita Harian X