Rabu, 5 Julai 2017 | 3:13pm

LPT2 anjur De' Perasing Ride@LPT2

KUALA TERENGGANU: LPT2 Sdn Bhd (LPT2) buat julung kalinya menganjurkan pertandingan kayuhan basikal di Lebuhraya Pantai Timur 2, De' Perasing Ride@LPT2, 22 Julai ini.

Pengurus Besar LPT2, Husni Md Yusuf, berkata acara anjuran LPT2 Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kerajaan negeri itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM53,000.

"Sebanyak 1,500 penyertaan disasarkan menyertai acara yang bermula dan berakhir di R&R Perasing, LPT2.

"Acara kayuhan dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada jenis basikal iaitu Roadbike membabitkan jarak sejauh 92 kilometer dan mountain bike (MTB) pula sejauh 55 kilometer," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Husni berkata, setiap peserta dikenakan yuran pendaftaran RM100 dan akan menerima jersi kejohanan, medal, kupon makanan dan lain-lain lagi.

"De' Perasing Ride akan mengetengahkan konsep Perkhemahan Jamboree Basikal seperti dianjurkan di luar negara yang mana peserta berkumpul dan berkhemah di lokasi tapak perlumbaan pada malam sebelumnya.

"Malah, pihak penganjur juga menyediakan khemah untuk disewa oleh peserta sebelum menyertai perlumbaan pada 22 Julai," katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai acara itu boleh melayari laman web www.bikeaway.com.my atau menghubungi talian 011-1322 8966.

Berita Harian X