Selasa, 4 Julai 2017 | 11:26am

Sultan Perak rasmi kolej perikanan


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis perasmian Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut (KPSNMSL) di Kampung Acheh, Sitiawan. - Foto Abdullah Yusof

SITIAWAN: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut (KPSNMSL) di Kampung Acheh di sini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menukar nama kolej berkenaan daripada Kolej Perikanan Malaysia Lumut kepada KPSNMSL.

Kolej berkenaan mula dibina pada Februari 2013 dengan kos RM69.8 juta, siap sepenuhnya pada April tahun lalu menawarkan pengajian peringkat diploma dan sijil dengan pengambilan pertama seramai 84 pelajar bagi sesi Julai 2016.

Berkenan hadir pada majlis berkenaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut berkenan hadir, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek.

Dalam ucapannya, Shabery berkata, KPSNMSL yang berkeupayaan menampung 500 pelajar bagi satu-satu masa, dijangka melahirkan kira-kira 2,000 graduan mahir tempatan menjelang tahun 2020 sekali gus menyokong pemodenan industri perikanan tangkapan serta akuakultur negara.

Beliau  berkata, penubuhan KPSNMSL juga membantu mengukuhkan kedudukan Perak sebagai negeri dengan pendaratan ikan laut tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 367,346 metrik tan ikan bernilai RM2.19 bilion tahun lalu atau 23 peratus daripada keseluruhan pendaratan ikan negara.

Berita Harian X