Sabtu, 1 Julai 2017 | 9:14am

Myvi kesejuta


PASUKAN pembuatan Perodua bergambar bersama Myvi kesejuta.

PERODUA Myvi melakar satu lagi sejarah tersendiri selepas unit kesejutanya dihasilkan di kemudahan pengeluarannya di Rawang, Selangor pada Jun.

Pencapaian ini menjadikannya model jenama Perodua paling banyak dikeluarkan sejak ia diperkenalkan pada Mei 2005, seterusnya muncul model kereta nombor satu di Malaysia sehingga akhir 2014.

Lebih menarik, Myvi kekal sebagai antara model kenderaan paling laris dijual di negara ini ketika ini.

Myvi penuhi selera pengguna

"Myvi mencatatkan standard baharu bagi kami dari segi tawaran produk serta jangkaan pengguna dan ia menjadi penanda aras bagi semua model pada masa depan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Bagi meraikannya, PERODUA mengadakan majlis istimewa di kemudahan pengeluarannya di Sungai Choh, Rawang yang dirasmikan Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB), Masanori Takahashi dan Naib Presiden PCSB, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Aminar berkata, berdasarkan pengiraan dalaman PERODUA, semua model Myvi, Alza, Axia dan Bezza mengekalkan kedudukan mereka sebagai kenderaan pilihan dalam segmen masing-masing.

"Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka," katanya dalam kenyataan.


MASANORI meletakkan logo Perodua sambil disaksikan Zainal Abidin.

Jualan PERODUA melonjak

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, PERODUA menjual 81,900 kenderaan, iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding 77,300 unit yang dijual pada tempoh sama 2016.

Aminar berkata, pihaknya mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 233,700 unit.

Berdasarkan jumlah itu, katanya, penguasaan pasaran PERODUA untuk tahun ini setakat ini adalah sekitar 35 peratus.

"Kami agak yakin mencapai jualan sasaran 202,000 untuk tahun ini, meskipun keadaan pasaran sukar dan mencabar yang berterusan," katanya.

Info:
Perodua Myvi

  • Mula diperkenalkan pada Mei 2005
  • Model nombor satu Malaysia sehingga akhir 2014
  • Unit kesejuta dihasilkan pada awal Jun 2017
Berita Harian X