Isnin, 26 Jun 2017 | 1:51pm
Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek

Guru Malaysia dipelawa sertai Hadiah Guru Global 2018


KUALA LUMPUR: Guru dari Malaysia dipelawa menyertai Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), mulai sekarang sehingga 8 Oktober ini.

Yayasan Varkey dalam satu kenyataan berkata, guru Malaysia berpotensi disenarai pendek dalam kelompok 50 guru terbaik, bagi membolehkan kisah dan cabaran mereka mendidik pelajar dikongsi di seluruh dunia.

Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.28 juta) dengan permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.globalteacherprize.org atau laman sosial www.twitter.com/TeacherPrize dan www.facebook.com/TeacherPrize.

Yayasan Varkey memilih guru dari Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 29, sebagai contoh kejayaan guru muda peringkat global dalam anugerah berprestij itu apabila tersenarai dalam kelompok 50 guru terbaik anugerah itu, tahun ini.

Mohd Siharhawan dalam kenyataan media sama dipetik sebagai berkata, dunia memerlukan guru hebat untuk memupuk minda cemerlang.

"Saya menggesa pelajar dan ibu bapa mencalonkan guru kegemaran mereka sebagai penerima Hadiah Guru Global 2018 bagi membantu meraikan kerja keras dan bakat guru hebat dari seluruh Malaysia," katanya.

Berita Harian X