Rabu, 27 Ogos 2014 | 7:26pm
PENGARAH Urusan Sime Darby Auto Connexion, Lee Eu San (kiri) dan Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia Ford, David Westerman bersama model SUV terbaharu, Ford EcoSport. - Foto Ford

Ford EcoSport dengan sistem arahan suara Ford SYNC

KUALA LUMPUR: Ford Motor Company (Ford) memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) urban serba baharu, Ford EcoSport.

Model dalam segmen B keluaran syarikat itu yang berpangkalan di Dearborn, Michigin, Amerika Syarikat direka untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap SUV kompak di Malaysia.

Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, David Westerman, berkata model itu menawarkan alternatif kepada kereta kompak mampu milik selain menjanjikan keseronokan pemanduan, kebebasan serta keterujaan tanpa mengetepikan aspek keselamatan kepada pemandunya.

"EcoSport direka dengan penuh gaya sebagai sebuah kereta penumpang kompak dengan fleksibiliti, posisi pemanduan selesa, mampu milik, mudah dikendalikan dan menjimatkan bahan api," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Model terbaharu itu ditawarkan dalam dua varian, Trend dan Titanium dengan tanda harga masing-masing RM92,888 dan RM103,888.

EcoSport serba baharu dikuasakan enjin petrol empat silinder bersesaran 1.5 liter (Ti-VCT) yang dipadankan dengan kotak gear automatik Ford PowerShift enam kelajuan yang menawarkan penjimatan bahan api hingga 15.4km seliter.

EcoSport varian Trend didatangkan dalam tiga warna, Candy Red, Midnight Sky Frozen White manakala varian Titanium dengan pilihan Mars Red, Winning Blue, Midnight Sky (kelabu) dan Frozen White.

Dilengkapi barisan ciri pintar, EcoSport menggunakan sistem sambungan dalam kereta yang diaktifkan melalui suara, Ford SYNC yang didapati dalam bahasa Mandarin dan Inggeris iaitu sistem yang kali pertama diperkenalkan di Malaysia.

Sistem itu yang memenangi anugerah membolehkan pemandu terus memegang stereng dan mata mereka fokus ke atas jalan raya ketika memilih muzik kegemaran atau membuat panggilan telefon menggunakan arahan suara.

Varian EcoSport Titanium juga hadir bersama sistem kemasukan pintar tanpa kunci (Smart Keyless Entry) dengan butang Push Start Ford, penggilap cermin, lampu utama automatik dan bumbung suria.

EcoSport turut ditawarkan dengan Pelan Servis Lanjutan (ESP) yang menyediakan program servis dan penyelenggaraan selama tiga tahun atau 60,000 kilometer meliputi penggantian alat ganti serta kos buruh percuma.

Berita Harian X