Rabu, 14 Jun 2017 | 10:09pm

Kurangkan kesilapan untuk rebut emas

KUALA LUMPUR: Atlet wushu negara diminta mengurangkan kesilapan bagi menghasilkan keputusan lebih baik pada Temasya Sukan SEA ke-29 dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), William Kong berkata, walaupun persekutuan itu menetapkan sasaran empat pingat emas, atlet wushu mampu meraih lebih emas, jika mereka tidak melakukan kesilapan dan memperbaiki teknik mereka.

"Wushu adalah sukan yang subjektif, persembahan pada hari pertandingan amat penting dalam menentukan pemenang. Bahkan kesilapan yang kecil, tergelincir boleh mengakibatkan kekalahan anda.

"Selain itu, kami juga akan berhadapan cabaran hebat dari Indonesia dan Vietnam. Maka kami hanya menyasarkan empat emas tetapi kami tidak boleh menafikan kemungkinan, ramai atlet kami mampu meraih emas, " katanya ketika dihubungi Bernama.

Malaysia menghantar satu pasukan terdiri daripada enam atlet lelaki dan enam atlet wanita untuk beraksi dalam kesemua 17 acara dipertandingkan, lapan adalah acara lelaki dan sembilan acara wanita yang bakal berlangsung di dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 Ogos depan.

Selepas membawa pulang dua emas, tiga perak dan empat gangsa dari Sukan SEA edisi Singapura dua tahun lalu, skuad wushu yang kini lebih berpengalaman berharap untuk mengatasi pencapaian terbaik mereka meraih enam emas, dua perak dan lima gangsa semasa Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2001.

Kong berkata sebagai persediaan, skuad negara kini menjalani latihan di Fuzhou, China sejak awal bulan ini sehingga 4 Julai, selepas melalui beberapa sesi penilaian oleh pengadil antarabangsa semasa Kejohanan Macau, untuk mengetahui tahap masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X