Selasa, 13 Jun 2017 | 7:17pm

Perodua Myvi capai pengeluaran 1 juta


MR Masanori Takahashi, memasang logo Perodua Myvi bagi unit yang ke 1juta.

RAWANG: Perodua Myvi melakar satu lagi sejarah tersendiri apabila unit ke sejuta dikeluarkan di kemudahan pengeluaran di Rawang, Selangor hujung minggu lalu, sekali gus menjadikannya model jenama Perodua paling banyak dikeluarkan.

Myvi yang diperkenalkan pada Mei 2005, muncul model kereta nombor satu di Malaysia sehingga akhir 2014.

Model kenderaan itu kekal sebagai antara model kenderaan paling laris dijual di negara ini ketika ini.

"Myvi mencatatkan standard baharu bagi kami dari segi tawaran produk serta jangkaan pengguna dan ia menjadi penanda aras bagi semua model pada masa depan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Bagi meraikannya, PERODUA mengadakan majlis istimewa di kemudahan pengeluarannya di Sungai Choh, Rawang yang dirasmikan Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB), Masanori Takahashi dan Naib Presiden PCSB, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Aminar berkata, berdasarkan pengiraan dalaman PERODUA, semua model Myvi, Alza, Axia dan Bezza mengekalkan kedudukan mereka sebagai kenderaan pilihan dalam segmen masing-masing.

"Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, PERODUA menjual 81,900 kenderaan, iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding 77,300 unit yang dijual pada tempoh sama 2016.

Aminar berkata, pihaknya mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sebanyak 233,700 unit.

Katanya, berdasarkan jumlah itu penguasaan pasaran PERODUA untuk tahun ini setakat ini adalah sekitar 35 peratus.

"Kami agak yakin mencapai jualan sasaran 202,000 untuk tahun ini, meskipun keadaan pasaran sukar dan mencabar yang berterusan," katanya.

Katanya, dari segi eksport, Myvi dijual di enam negara sejak 2006, termasuk Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama PERODUA.

Bagaimanapun, katanya, pasaran eksport terbesar Myvi adalah Indonesia di bawah jenama Daihatsu Sirion, yang menyaksikan hampir 31,000 kenderaan dijual sejak 2007.

Secara keseluruhan, PERODUA mengeksport 35,400 model Myvi/Sirion sejak 2006 untuk pasaran berkenaan.

Berita Harian X