Ahad, 11 Jun 2017 | 7:57am

8 pendatang terbunuh, puluhan lagi hilang


PENGAWAL pantai Libya menarik bot getah yang memuatkan mayat pendatang selepas ia bocor di Garabulli, 60km dari Tripoli. - Foto AFP

TRIPOLI: Pengawal pantai Libya menemui lapan mayat pendatang, dipercayai menaiki bot bersama puluhan mangsa lain yang dikhuatiri hilang, kata seorang jurucakap, semalam.

"Kebiasaannya bot penumpang jenis ini membawa 100 hingga 110 orang, jadi kami tidak pasti apa berlaku kepada yang lain," kata jurucakap pengawal pantai di bandar Garabulli, Issa al-Zaroog.

Katanya mayat lapan pendatang itu dijumpai nelayan dan punca kematian mereka tidak diketahui.

Terdahulu, jurucakap pengawal pantai Tripoli, Ayoub Qassem, berkata seorang pendatang Bangladesh terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan antara pengawal pantai Zawiya dengan penyeludup yang mengiringi bot pendatang ke laut.

Qassem berkata, dua bot getah dan kapal kayu membawa 570 pendatang berjaya dipintas dekat Sabratha, timur Tripoli hingga mencetuskan pertempuran.

Pengawal pantai memusnahkan bot dan jet-ski yang digunakan penyeludup dan menahan tiga daripada mereka.

Libya menjadi pilihan pendatang yang cuba melarikan diri ke Eropah melalui laut dan jumlahnya meningkat mendadak sejak 2014. - Reuters

Berita Harian X