Selasa, 13 Januari 2015 | 6:05pm

Bursa melonjak didorong keuntungan kaunter kewangan terpilih

KUALA LUMPUR: Keuntungan dalam kaunter kewangan terpilih diterajui CIMB, membantu Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini bagi empat hari berturut-turut, kata para peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.82 mata untuk ditutup pada 1,748.9, selepas berlegar antara 1,725.98 dan 1,750.16 sepanjang hari dagangan.

CIMB muncul sebagai kaunter paling untung, meningkat 74 sen atau 14.29 peratus kepada RM5.92, dengan 29.12 juta saham bertukar tangan.

Desas-desus pasaran bahawa CIMB dan RHB Capital berhasrat membatalkan cadangan penggabungan bank mega dengan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) mencetuskan minat belian besar-besaran dalam saham perbankan.

Sumber rapat bagi rundingan itu dipetik dalam satu laporan sebagai berkata ketiga-tiga entiti itu sepatutnya bertemu esok untuk memutuskan secara rasmi janji niaga itu akan dibatalkan.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 90.41 mata kepada 12,011.74, Indeks FBMT100 naik 88.39 mata kepada 11,741.97, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 18.98 mata kepada 12,508.06.

FBM 70 naik 81.22 mata kepada 13,035.06 dan FBM ACE meningkat 77.97 mata kepada 5,972.86.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan meningkat 19.55 mata kepada 3,189.16, Indeks Perladangan naik 0.03 mata kepada 7,813.25 manakala Indeks Kewangan menambah 290.53 mata kepada 15,387.49.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 502 berbanding 311 dengan 275 kaunter tidak berubah, 643 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung. Jumlah dagangan meningkat kepada 1.90 bilion saham bernilai RM2.11 bilion daripada 1.36 bilion saham bernilai RM1.46 bilion pada Isnin.

Dalam kalangan kaunter diniagakan cergas, Systech naik 2.5 sen kepada 26.5 sen, Iris Corp meningkat 1.5 sen kepada 32 sen, Asia Bioenergy menokok setengah sen kepada 16 sen dan AirAsia menambah 11 sen kepada RM2.73.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, TNB meningkat dua sen kepada RM14.22, Maybank naik empat sen kepada RM8.62, Public Bank turun enam sen kepada RM17.46 manakala Axiata susut tujuh sen kepada RM6.98.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.23 bilion saham bernilai RM1.91 bilion daripada 834.93 juta saham bernilai RM1.26 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 483.02 juta saham bernilai RM140.19 juta daripada 392.49 juta saham bernilai RM141.41 juta sebelumnya. Waran meningkat kepada 189.44 juta unit bernilai RM61.53 juta daripada 133.12 juta unit bernilai RM55.99 juta pada Isnin.

Barangan pengguna menyumbang 102.1 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (147.38 juta), pembinaan (63.81 juta), perdagangan dan perkhidmatan (545.35 juta), teknologi (79.99 juta), prasarana (13.25 juta), SPAC (34.85 juta), kewangan (110.87 juta), hotel (2.75 juta), hartanah (100.46 juta), perladangan (15.03 juta), perlombongan (100), REITs (10.59 juta) dan dana tertutup (17,000). - BERNAMA

Berita Harian X