Isnin, 5 Jun 2017 | 3:52pm

Mercedes latih bomba tangani kenderaan elektrik


MADANI (dua dari kiri) bersalaman dengan Weidner (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU di Wisma Mercedes-Benz, Puchong, hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

PUCHONG: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) mengambil inisiatif melatih kakitangan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia menangani kenderaan voltan tinggi ketika kecemasan.

Inisiatif itu memperlihatkan kesungguhan dan komitmen MBM menjayakan aspirasi menjadikan negara ini hab kenderaan cekap tenaga (EEV).

Seramai 40 kakitangan Bomba terbabit dalam latihan merangkumi kedua-dua aspek teknikal dan pengalaman waktu sebenar dalam menangani isu keselamatan membabitkan kenderaan hibrid dan elektrik ketika kecemasan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Claus Weidner, berkata peserta didedahkan kepada kelengkapan tercanggih Akademi Latihan MBM di Puchong, yang juga adalah lokasi ibu pejabat baharu syarikat itu.

Beliau berkata, latihan itu diadakan bagi mengetengahkan aspek teknikal dan praktikal kepada kakitangan Bomba untuk mengendali situasi kecemasan membabitkan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) dan Kenderaan Elektrik Sepenuhnya (PHEV).

"MBM akan terus menjadi penyokong tegar aspirasi negara untuk menjadikan negara ini hab EEV.

"Kami percaya latihan sebegini adalah pelaburan jangka panjang, sekali gus mewujudkan ekosistem kondusif kepada kedua-dua EEV dan pemandunya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran latihan pengenalan kenderaan bervoltan tinggi di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari; Ketua Pegawai Operasi, Nizmar Mohd Nazar; Naib Presiden Selepas Jualan MBM, Heinrich Schromm; dan Pengurus Kanan Bahagian Latihan MBM, Dominic Wells.

Pada majlis sama MBM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MAI.

MoU itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan kerja antara MBM dan MAI, ia termasuk membenarkan pelatih MAI menggunakan kemudahan Akademi Latihan MBM dan membantu MAI menjayakan misinya sebaik mungkin.

Ini menjurus kepada Program Perantisan Lanjutan Moden Mercedes-Benz diberi akreditasi oleh MAI.

Berita Harian X