Isnin, 5 Jun 2017 | 1:48pm

UCB tarik lebih ramai OKU lanjut pengajian

TENGKU Mahmud menyampaikan zakat kepada pelajar pada Majlis Cakna UCB di kampus UCB, di Setiu, hari ini. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

PERMAISURI: Kolej Universiti Bestari (UCB) sedang meningkatkan fasiliti tambahannya untuk kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) melanjutkan pengajian di institusi pengajian wakaf itu.

Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Prof Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata UCB memberi perhatian serius mengenai perkara itu bagi memastikan lebih ramai pelajar OKU berpeluang belajar di situ.

Beliau berkata, setakat ini terdapat dua pelajar OKU yang sedang mengikuti pengajian kursus Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Asasi Teknologi Maklumat.

"Kita juga sedang mencari lapan lagi bakal pelajar OKU untuk pengambilan akan datang bagi mencukupkan kuota 10 pelajar OKU tahun ini untuk menikmati kemudahan yang ditawarkan oleh UCB.

"Antara kemudahan pelajar berkenaan secara automatik menjadi anak angkat UCB dan layak menerima biasiswa sebanyak RM300 setiap bulan sehingga tamat pengajian," katanya selepas merasmikan Majlis Cakna UCB di kampus UCB, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UCB, Prof Dr Ab Aziz Jusoh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UCB, Prof Dr Sulaiman Yamin dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh.

TENGKU Mahmud melihat seorang pelajar OKU, Muhammad Aliff Norhakim Majid mencuba kerusi roda elektrik pada Majlis Cakna UCB di kampus UCB, Setiu, hari ini. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Tengku Mahmud berkata, beberapa kemudahan yang akan dinaiktaraf seperti laluan untuk ke bilik kuliah dan menyediakan bilik khas pelajar OKU.

Dalam itu katanya, seramai 420 pelajar asnaf menerima sumbangan zakat tahun ini berjumlah RM100 seorang sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

"Peruntukan sebanyak RM40,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan tambahan RM2,000 daripada individu.

"Kita juga turut menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada pelajar OKU, Muhammad Aliff Norhakim Majid yang menghadapi masalah sumbing tulang belakang," katanya.

Berita Harian X