Sabtu, 3 Jun 2017 | 11:27pm

Sukan Komanwel 2022 bukan proses bidaan tradisonal


PRESIDEN Persekutuan Sukan Komanwel Malaysia (CGAM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar. - Foto Ramdzan Masiam

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Sukan Komanwel Malaysia (CGAM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata Malaysia adalah antara negara dalam senarai untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022.

"Ini bukan proses bidaan tradisional tetapi pendekatan secara perkongsian yang dipimpin Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dengan negara-negara berminat yang berpotensi. Kami gembira menjadi sebahagian daripada proses pemilihan itu.

"Kami komited terhadap kuasa serta kedudukan kita di pentas dunia dan sangat yakin ada manfaat yang besar kepada Malaysia dikaitkan dengan Sukan Komanwel.

"Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan pasukan CGF melalui peringkat seterusnya proses pemilihan bandar tuan rumah," kata Tunku Imran, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Adalah penting bagi menjelaskan minat Malaysia dan pembabitan dengan CGF sebagai sebahagian daripada proses untuk Sukan Komanwel akan datang, termasuk meneroka potensi untuk temasya 2022 atau 2026," kata Tunku Imran dalam kenyataan hari ini.

CGF menyenarai pendek Malaysia sebagai antara negara yang berpotensi untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 selepas Durban di Afrika Selatan digugurkan kerana gagal memenuhi beberapa tarikh penamat yang ditetapkan CGF. -- BERNAMA

Berita Harian X