Khamis, 1 Jun 2017 | 8:57pm

44 pendatang maut di padang pasir Niger


Gambar fail diambil pada 8 Oktober 2005 menunjukkan pendatang berehat di tengah-tengah Gurun Sahara, berhampiran sempadan dengan Algeria. - Foto AFP

NIAMEY: Sekurang-kurangnya 44 pendatang termasuk wanita dan bayi ditemui mati, selepas kenderaan yang mereka naiki rosak di tengah padang pasir di utara Niger ketika dalam perjalanan ke Libya.

Datuk Bandar Agadez, Rhissa Feltou berkata, sehingga kini 44 pendatang disahkan maut, dipercayai kerana kehausan.

"Pasukan Palang Merah sudah menghantar pasukan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut, " katanya yang bertanggungjawab mentadbir Agadez, iaitu sebuah pekan kecil di hujung padang pasir Sahara yang menjadi pusat penyeludupan Afrika.

Awal Mei lalu, lapan pendatang dari Niger, lima daripadanya kanak-kanak ditemui mati di padang pasir ketika dalam perjalanan ke Algeria.

Terdahulu, sekumpulan tentera yang sedang berkawal di utara Niger berjaya menyelamatkan 40 pendatang dari beberapa negara di barat Afrika selepas nyaris maut ditinggalkan oleh penyeludup ketika dalam perjalanan ke Libya.

Mereka terdiri adalah rakyat Gambia, Nigeria, Guinea, Senegal dan Niger yang berharap dapat menyeberangi Lautan Mediterranean untuk berhijrah ke Eropah. - AFP

Berita Harian X