Khamis, 1 Jun 2017 | 6:35pm

RHB-Ambank mula rundingan penggabungan


DATUK Khairussaleh Ramli. -Foto Syarafiq Abd Samad

RHB Bank Bhd, bank keempat terbesar Malaysia dan AMMB Holdings Bhd (Ambank Group), bank keenam terbesar, mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai proses penggabungan.

Dalam satu kenyataan bersama, RHB Bank dan Ambank Group, berkata Bank Negara membenarkan mereka untuk memulakan rundingan eksklusif bagi tempoh sehingga 30 Ogos depan mengenai jangkaan urus niaga dan penggabungan saham secara keseluruhan.

Jika penggabungan berkenaan menjadi kenyataan, nilai gabungan aset kedua-dua entiti itu adalah RM365.9 bilion, kekal keempat terbesar namun semakin hampir untuk menyamai bank ketiga terbesar negara iaitu Public Bank Bhd dengan saiz aset RM389.73 bilion.

Dari segi rangkaian cawangan, RHB Bank mempunyai 278 cawangan dengan lebih 16,000 kakitangan, manakala Ambank Group memiliki 175 cawangan dengan lebih 12,000 kakitangan.

Seorang penganalisis berkata, rancangan penggabungan itu akan membolehkan RHB Bank menjanakan potensi pertumbuhannya dan menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau selepas rundingan penggabungan dengan CIMB dan Malaysia Building Society Bhd gagal pada Januari 2015.

Namun begitu, beliau berkata, langkah itu juga akan menyaksikan pertindihan cawangan jika kedua-dua syarikat kewangan itu beroperasi di ruang yang sama sekali gus memungkinkan berlakunya pengurangan kakitangan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pihaknya yakin jika cadangan penggabungan itu berlaku, ia akan mewujudkan sinergi yang lebih besar untuk perbankan kumpulan.

"Ia juga bakal memberi manfaat kepada pemegang saham, pelanggan, pekerja dan semua pihak berkepentingan lain. Penggabungan ini akan menjadikan kami kumpulan perbankan keempat terbesar.

"Ia akan menjadikan kumpulan perbankan ini lebih kukuh selain mewujudkan skala dan kepimpinan pasaran seluruh segmen perniagaan utama," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ambank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya juga menerima penggabungan ini dan menyifatkan ia adalah sebagai satu langkah transformasi.

"Bab baharu dalam sejarah Ambank Group dan langkah untuk mencapai empat matlamat utama kami. Saya yakin cadangan penggabungan dengan RHB Bank akan mewujudkan perniagaan yang lebih kukuh dan kedudukan kewangan yang lebih baik.

"Kekuatan kami digabungkan dalam semua segmen perniagaan utama terutamanya dalam perbankan runcit dan pelaburan. Ini petanda yang baik bergerak ke hadapan mencapai matlamat menjadi sebuah kumpulan perbankan yang hebat," katanya.

Spekulasi mengenai penggabungan dua syarikat kewangan ini bermula susulan langkah penggantungan urus niaga saham mereka di Bursa Malaysia semalam.

Urus niaga saham RHB Bank dan Ambank Group akan diniagakan semula di Bursa Malaysia esok.

Pemegang saham terbesar Ambank Group ketika ini adalah Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) dengan pegangan 23.78 peratus manakala pengasasnya, Tan Sri Azman Hashim pula mempunyai kepentingan sebanyak 12.97 peratus.

Mengikut data Bloomberg, Sebanyak 41 peratus ekuiti RHB Bank dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sementara Aabar Investments PJS dengan 17.75 peratus saham dan OSK Holdings Bhd dengan 10.13 peratus. KWSP juga memiliki 10.04 peratus ekuiti dalam Ambank Group

Berita Harian X