Rabu, 31 Mei 2017 | 5:35pm

PERODUA, Grab meterai perjanjian kadar sewa beli kompetitif


PENGARAH Perodua Sales Sdn Bhd Urusan, Datuk Dr Zahari Husin (kanan) dan Ketua Grab Malaysia, Sean Goh (kiri) ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Petaling Jaya, hari ini.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Grab Malaysia dalam usaha memberi nilai tambah perkhidmatan dengan menawarkan kadar sewa beli kompetitif untuk pemandu GrabCar.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Perodua Sales Sdn Bhd Urusan, Datuk Dr Zahari Husin manakala Grab diwakili Ketua Grab Malaysia, Sean Goh dan disaksikan Presiden PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Zahari berkata, kerjasama itu termasuk pakej harga istimewa menerusi Jabatan Jualan Kerajaan dan Korporat PERODUA, masa yang minimum untuk pendaftaran kereta bagi pemandu Grab, pusat sehenti bagi servis dan alat ganti, insurans dan cukai jalan.

"MoU ini adalah lonjakan baharu bagi PERODUA apabila ia akan mengetengahkan produk kami kepada orang ramai secara besar-besaran melalui Grab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pakej harga istimewa itu tersedia untuk model Bezza, Myvi dan Alza.

Sementara itu, Goh berkata, sebagai peneraju platform pelbagai perkhidmatan dan perkongsian pengangkutan, Grab sentiasa memberi tumpuan untuk menaik taraf kehidupan 620 juta rakyat di rantau Asia Tenggara untuk menikmati akses yang lebih baik, serta pengangkutan yang berpatutan dan cekap.

"Pada masa sama, kami menyedari peranan pemandu kami dalam usaha membantu mencapai matlamat ini. Justeru, kami sentiasa mengenal pasti rakan strategik kami untuk membantu mengurangkan kos pemanduan kerana kos pemilikan kenderaan adalah antara kebimbangan utama," katanya.

Sehingga April, semua kenderaan PERODUA muncul paling laris dalam segmen masing-masing dengan Axia mencatat 22,000 unit, Bezza (19,500 unit) dan Alza (9,300 unit).

Berita Harian X