Selasa, 30 Mei 2017 | 4:52pm

Rai Kaamatan, Gawai demi perpaduan - Lam Thye


TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Seluruh rakyat Malaysia disaran meraikan bersama pesta menuai atau dikenali sebagai Kaamatan di Sabah dan Gawai di Sarawak sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan kumpulan etnik di kedua-dua negeri berkenaan.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata seluruh rakyat wajar menyambut Kaamatan dan Gawai kerana ia boleh meningkatkan keharmonian kaum, integrasi serta perpaduan yang amat penting untuk kejayaan sebuah negara berbilang kaum.

"Pesta Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah manakala Gawai disambut masyarakat Dayak yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Kenyah bagi menandakan berakhirnya musim menuai pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.

"Perayaan sedemikian sepatutnya menjadi platform penyatuan rakyat pelbagai kaum supaya dapat bersama-sama mencapai matlamat kejayaan negara," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Kaamatan dan Gawai di sini, hari ini.

Katanya, proses mewujudkan negara Malaysia yang bersatu adalah usaha berterusan dan apa yang sudah dicapai setakat ini, perlu dilindungi dan diperkukuhkan.

Beliau berkata, perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai, simbol kemanusiaan dan asas di mana rakyat membina hubungan keluarga, masyarakat dan negara.

"Sebagai ikatan yang menyimpul rapi hubungan antara rakyat, perpaduan mesti bermula dengan individu itu sendiri kerana ia akan dapat dilihat menerusi cara mereka melayan orang lain.

"Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik mesti sentiasa peka dengan keperluan untuk saling menghormati dan berkongsi wawasan untuk perpaduan negara.

"Prinsip perpaduan, seperti yang termaktub dalam Rukun Negara, perlu sentiasa dipertahankan dan diamalkan. Kita tidak boleh mengambil mudah soal kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita capai setakat ini," katanya.

Lam Thye berkata, sebagai sebuah negara berbilang bangsa, budaya dan agama, Malaysia amat unik kerana berjaya membuktikan kepelbagaian etnik boleh disatukan dan dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

"Kita harus pertahankan semangat dan keazaman serta berusaha membina sebuah negara berbilang kaum. Impian mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu perlulah dikongsi bersama," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk rakyat negara ini mencari lebih banyak 'pembina jambatan etnik' dan memberi penekanan kepada peranan penting mereka.

Pada masa sama, katanya benteng perkauman yang serius perlu diruntuhkan demi meningkatkan hubungan etnik di negara ini.

Berita Harian X