Selasa, 30 Mei 2017 | 7:00am

Honda RS150R masuki pasaran eksport


Honda RS150R.

BOON Siew Honda (BSH) memeterai perjanjian dengan Honda Motor Co Ltd (HM) bagi mengeksport model motosikal tempatan, RS150R ke pasaran luar negara.

Dengan lebih 60 tahun kewujudan pasaran di Malaysia, BSH mensasarkan 700 unit RS150R untuk dieksport dalam tahun fiskal pertama ini.

Model RS150R dilancarkan pada Jun 2016 dan di pasaran untuk rakyat Malaysia pada Ogos 2016.

"Ini peluang besar kepada BSH kerana kami mempelajari perniagaan eksport untuk beberapa tahun dan sekarang kami akhirnya sedia. Kami yakin dengan Honda RS150R memandangkan ia antara model paling laris.

"Kami berjaya mencapai jumlah 17,000 unit pengeluaran dalam hanya lapan bulan sejak mula dikeluarkan pada Ogos 2016," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata.

Dengan kekuatan perkongsian antara Honda Motor dan BSH, kedua-dua pihak menyatukan visi mereka menawarkan motosikal inovatif dan boleh dipercayai kepada orang awam melalui perjanjian terbaru itu.

Honda kini menguasai 26 peratus bahagian pasaran di Malaysia setakat Mac 2017 dan menyasar peningkatan lima peratus pada akhir tahun fiskal 2017/2018.

BSH baru-baru ini, itu meraikan pencapaian jualan 132 peratus dalam tahun fiskal lalu.


NAGATA (empat dari kiri) bersama Nakamura (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian rasmi untuk mengeksport model motosikal tempatan, RS150R di Cyberjaya, baru-baru ini.

"Honda ialah industri automotif global utama dan mereka berada di Malaysia hampir 60 tahun. Pada 2013, BSH melabur dalam pembinaan kilang Honda baharu di Batu Kawan yang mana kami membawa masuk teknologi baru, kemudahan penunggang secara selamat dan produk baru.

"Kami bangga dengan BSH yang terus menghasilkan motosikal berkualiti dan boleh dipercayai kepada pelanggan kami dan kami berharap untuk memasang model yang memiliki kualiti tinggi untuk segmen pasaran yang lebih pelbagai dalam negara," kata wakil operasi permotoran Honda Motor Co Ltd, Yoshitaka Nakamura.

Info:
Honda RS150R

  • Enjin 4-lejang, Penyejuk Udara DOHC
  • Kuasa Kuda Maksimum (kW/rpm) 11.5/9000
  • Tork Maksimum (N.m/rpm) 13.5/6500
  • Kapasiti Tangki Minyak 4.5 L
  • Klac Jenis Basah Berbilang
  • Casis Jenis Bingkai Tiub berkembar
Berita Harian X