Rabu, 24 Mei 2017 | 9:11pm

Jepun kecewakan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia melengkapkan saingan peringkat Kumpulan C Piala Sudirman 2017 selaku naib juara selepas tewas kepada Jepun 3-2 dalam aksi di Pusat Sukan dan Rekreasi Gold Coast, Australia, sebentar tadi.

Kekalahan begitupun tidak menyebabkan skuad negara mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan badminton berpasukan campuran berprestij itu apabila sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal.

Skuad Malaysia memulakan langkah kiri apabila beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas 18-21, 21-17, 21-16 dalam pertarungan tiga set kepada pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dalam tempoh sejam.

Jejak itu kemudian diikuti pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang tewas mudah 21-6, 21-17 kepada Akane Yamaguchi dalam permainan yang berlangsung selama 32 minit.

Pemain perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei kembali menyalakan harapan negara apabila mengutip mata pertama menerusi kemenangan straight set, 8-21, 5-21 ke atas Yu Igarashi.

Begitupun, harapan yang disandarkan kepada pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean tidak kesampaian selepas tewas 21-17, 21-18 juga dengan aksi straight set, kepada gandingan Jepun, Misaki Matsutomo, Ayaka Takahashi.

Mata kedua skuad negara disumbangkan beregu campuran, Tan Kian Meng -Lai Pei Jing yang menang dalam penentuan tiga set 16-21, 21-16, 19-21 ke atas pasangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Kemenangan menyaksikan Jepun mara selaku juara Kumpulan C dengan undian di peringkat suku akhir diadakan selepas aksi peringkat kumpulan selesai.

Berita Harian X