Selasa, 23 Mei 2017 | 10:39am

Ahli keluarga krew bot TLDM tiba di MAWILLA 1


PANGLIMA TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) menyambut kepulangan sembilan pegawai dan anggota Laskar Kanan bot Boarding Team KD Perdana TLDM yang tiba di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Ahli keluarga kepada sembilan anggota bot Boarding Team KD Perdana yang ditemui selamat petang semalam, tiba di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA1) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, dekat sini.

Difahamkan mereka diminta hadir ke markas berkenaan bagi menyambut ketibaan sembilan anggota terbabit yang bakal berlabuh dalam masa terdekat, selepas terputus hubungan kira-kira 54 jam Sabtu lalu.

Bapa kepada Laskar Kanan I TMK Faisal Iskandar Alias, Alias Abdullah, 64, dari Kijal, Terengganu, berkata mereka tidak sabar untuk menanti kedatangan anak kedua daripada tujuh beradik itu.

"Saya mengetahui kejadian ini pada pagi Ahad dan hati mula risau, kami berdoa supaya dia selamat namun kami yakin dia mampu bertahan kerana dia sudah biasa ke laut.

"Syukur apabila diberitahu kira-kira jam 8 malam tadi semuanya selamat," katanya ketika ditemui BH di sini, sebentar tadi.

Bot Boarding Team yang terputus hubungan dengan KD Perdana kira-kira jam 1.30 tengah hari Sabtu lalu di perairan Sedili, Johor ditemui selamat di 87 batu nautika Timur Tanjung Gelang, Kuantan.


MOHD Akmal Nizam Amdan, 29, memeluk ibunya, Halimaton Sulaiman, 55 sambil diperhatikan ayahnya, Amdan Saiyid Mohd, 55, ketika tiba di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MOHD Akmal Nizam Amdan, 29, bertemu isterinya, Amy Nur Syakila Melan, 30, dan anak-anaknya ketika tiba di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sehubungan itu, Op CARILAMAT ditubuhkan malam sama dengan menggerakkan 13 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), termasuk dua pesawat bagi melakukan pencarian di kawasan laut.

KD Perdana berada di Perairan Sedili bagi melaksanakan rutin rondaan maritim di perairan negara dan sebelum kejadian, KD Perdana dan bot berkenaan mengusir beberapa bot nelayan asing yang berada di perairan terbabit.

Selepas usaha mencari oleh KD Perdana tidak berhasil, TLDM mengaktifkan usaha CARILAMAT di sekitar Perairan Sedili bermula jam 7.30malam bagi memperluaskan pencarian menggunakan aset ATM, APMM dan Persatuan Nelayan Sedili.

Bot berkenaan ditemui di 87 batu nautika Timur Tanjung Gelang selepas Markas Wilayah Satu TLDM Tanjung Gelang menerima satu laporan mengenai bot berkenaan daripada ejen perkapalan.

Bilik operasi memohon pesawat B200T TUDM untuk membuat tinjauan di kawasan dilaporkan dan mengesahkan penemuannya manakala kesemua anggota dalam keadaan selamat.

Pegawai dan lapan Laskar Kanan Boarding Team dari kapal KD Perdana ialah Leftenan Mohd Hidir Yusof; LK KOM Mohd Zaidi Rahim; LK PAP Mohamad Rabidzi Rodzian; LK PAP Mohd Nurul Shahiran Salwi; LK KOM Mohd Akmalnizam Amdan; LK KOM Suhaimi Shamsudin; Faisal Iskandar; LK I TMK Mohd Fitri Ab Melek dan LK I TMK Zulhusni Sherhutdin.

Satu sidang media mengenainya akan diadakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di MAWILLA 1, hari ini.

Berita Harian X