Isnin, 22 Mei 2017 | 2:26pm

Tokoh guru tak pernah ke sekolah menengah


DATUK Seri Musa Aman menyampaikan sijil tokoh guru kepada Dr Dayu Sansalu (tiga dari kiri) pada Majlis Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Beaufort, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

BEAUFORT: Seorang pesara guru yang dinobatkan Tokoh Guru Sabah 2017, tidak pernah melalui pengalaman menduduki persekolahan menengah secara formal akibat kekangan kewangan yang memaksanya melupakan impian melanjutkan pelajaran.

Dr Dayu Sansalu, 67, hanya sempat menjejakkan kaki selama enam bulan dalam kelas peralihan di Sekolah Menengah Kerajaan (GSS) Jesselton pada 1966, sebelum berhenti kerana kemiskinan keluarga.

Beliau kemudian menjadi buruh kasar jalan raya dengan gaji RM3 sehari.

Bagaimanapun, katanya, semangat tinggi menimba ilmu mendorongnya terus berusaha mendapatkan kelayakan pendidikan di peringkat menengah dengan belajar sendiri dan menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.

"Selepas menjadi buruh kasar, saya memohon menjadi guru sandaran dan diterima mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bantayan, Inanam pada 1967 sebelum dipindahkan ke SK Kepayan, Kota Kinabalu pada 1969.

"Di sinilah kerjaya guru saya bermula dengan berbekalkan sijil Darjah Enam.

"Ketika menjadi guru sandaran itu saya mengikuti kelas malam dan menduduki SRP hingga lulus pangkat A. Saya diterima memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran hingga bergelar guru terlatih," katanya ditemui pada sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Yang turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Exco Pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Dun dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Kesungguhan Dayu menimba ilmu membawanya ke universiti termasuk di luar negara dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2003.

Dayu yang berasal dari Paitan, Beluran pernah menjadi pensyarah Maktab Kent, pengetua, jemaah nazir sekolah dan pegawai pendidikan sebelum bersara pada 2006 dan dilantik sebagai pensyarah kontrak kursus Hubungan Etnik di UMS sehingga sekarang.

Seorang lagi Tokoh Guru Sabah 2017 ialah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan, Datin Patimah Ali, 61, iaitu isteri kepada Pengarah Yayasan Sabah yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.

Terdahulu, Musa berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan kualiti pendidikan dan kebajikan guru sejajar usaha melahirkan modal insan berkebolehan dan mencukupi untuk memenuhi keperluan semua sektor pekerjaan di negeri ini.

"Saya berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk meminta masalah berkaitan pendidikan di Sabah diselesaikan termasuk kebajikan guru seperti soal kediaman mereka terutama di luar bandar," katanya.

Berita Harian X