Isnin, 22 Mei 2017 | 6:39am

Unit ke sejuta Myvi dijangka dikeluarkan bulan ini


DATUK Dr Aminar Rashid Salleh.

KUALA TERENGANU: Perodua Myvi dijangka merekodkan pengeluaran ke sejuta unit bulan ini, lebih awal daripada sasaran menjelang akhir tahun ini.

Ia sekali gus menjadikannya kenderaan Malaysia paling banyak dikeluarkan dalam sejarah industri automotif tempatan.

Ikon automotif Malaysia selama lebih 12 tahun itu yang diperkenalkan pada Mei 2005 adalah model kereta nombor satu Malaysia sehingga akhir tahun 2014 dan kini terus menjadi antara model paling laris di negara ini.

"Setakat ini, kami mengeluarkan hampir satu juta Myvi sejak tahun 2005 dan kejayaan ini (sejuta unit) akan dicapai pada bila-bila masa bulan ini, " kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Beliau berkata, Myvi sehingga kini dijual di tujuh negara sejak 2006, termasuk Sri Lanka, Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama Perodua.

Pasaran eksport terbesar Myvi adalah Indonesia di bawah jenama Daihatsu Sirion dengan hampir 31,000 kenderaan dijual sejak tahun 2007. Secara keseluruhan, Perodua mengeksport 35,400 model Myvi/Sirion sejak 2006 ke pasaran eksport terbabit.

"Kami gembira dengan pencapaian ini dan menghargai amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada jenama kami. Kami akan terus menawarkan yang terbaik dari segi nilai serta perkhidmatan kepada semua rakyat Malaysia, " katanya pada sidang media di Pulau Redang, Terengganu sempena program "MOH KITE KE GANU!" - Pemanduan Perodua Media 2017.

Ditanya sama ada PERODUA akan terus mengeluarkan Myvi disebabkan ia semakin berusia atau menggantikan dengan model baharu lain, Aminar berkata, buat masa ini pihaknya akan terus mengeluarkan Myvi kerana permintaannya masih kukuh bersama-sama dengan model lain di bawah jenama Perodua, iaitu Axia, Bezza dan Alza.

Dalam pada itu, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 64,700 kenderaan, iaitu peningkatan 4.1 peratus berbanding 62,100 kenderaan pada tempoh sama 2016.

Aminar berkata, dalam tempoh itu, semua kenderaan Perodua adalah model paling laris dalam segmen masing-masing, dengan Axia merekodkan jualan 22,000 unit, Bezza 19,500 unit, Myvi 13,900 unit dan Alza 9,300 unit.

"Berdasarkan pengiraan dalaman kami, kami menganggarkan jumlah industri keseluruhan (TIV) untuk empat bulan pertama 2017 adalah sebanyak 182,800 kenderaan, peningkatan 5.4 peratus berbanding 173,400 kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu,"

"Berdasarkan anggaran ini, kami menjangka bahagian pasaran Perodua adalah sekitar 35.4 peratus setakat ini tahun ini, " kata Aminar.

Mengenai sama ada PERODUA akan menyemak semula sasaran jualan untuk 2017 yang diumumkan sebelum ini sebanyak 202,000 unit, beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih mengekalkan unjuran itu kerana pertumbuhan jualan bagi tempoh Januari-April tahun ini tidak menggambarkan keseluruhan trend jualan 2017.

"Secara keseluruhan pasaran automotif tempatan masih lagi mencabar dan tidak menentu tahun ini. Masalah kelulusan sewa beli dan kadar pertukaran wang asing yang sentiasa turun naik memberi banyak impak kepada syarikat automotif," katanya.

Info

Prestasi Jualan Januari-April 2017

· Axia 22,000 unit

· Bezza 19,500 unit

· Myvi 13,900 unit

· Alza 9,300 unit.

· Pusat jualan 184

· Pusat servis 182

Berita Harian X